a

Saturday, 27 November 2010

Empat panduan boleh diamal mantapkan ibadat solat




Persoalannya, apakah cara untuk memanjangkan solat kita? Apakah ada sebarang petua yang boleh ustaz kongsi?

Jawapan: ALLAH SWT berfirman dalam surah an-Nisa' ayat 103 yang bermaksud: "Maka dirikanlah sembahyang, sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang beriman yang tertentu waktunya."

Saudara, solat fardu yang kita kerjakan seharian adalah ibadat yang sudah ditetapkan waktunya. Malah, persoalan yang patut timbul pada diri kita sebenarnya adakah solat kita sempurna seperti sabda Rasulullah SAW: "Sembahyanglah kamu seperti aku sembahyang."

Dari sini maka kita akan bersungguh-sungguh memantapkan ilmu solat dengan menyemak hadis, buku yang dikarang oleh ulama, menghadiri majlis ilmu serta berdamping dengan orang alim.
Perkara kedua, solat yang diwajibkan itu sebaik-baiknya hendaklah dikerjakan pada awal waktu. Ketiga, solat yang dikerjakan itu hendaklah dikerjakan di masjid atau surau secara berjemaah.

Keempat, tambahkan solat fardu kita dengan solat-solat sunat yang mengiringi solat fardu berkenaan. Kelima, bacalah zikir-zikir Ma'thur yang diajar oleh Rasulullah SAW sesudah solat.

Sebuah hadis riwayat Muslim, daripada Abu Hurairah daripada Nabi SAW bersabda: "Malaikat penjaga siang dan penjaga malam itu silih berganti. Mereka berkumpul dalam waktu solat Subuh dan waktu Asar.

Kemudian malaikat yang bertugas pada waktu malam naik dan ditanya oleh Allah SWT mengenai keadaan manusia padahal sebenarnya Allah SWT lebih mengetahui keadaan manusia: "Bagaimana hamba-Ku ketika kamu tinggalkan?" Kalangan malaikat menjawab: "Sewaktu kami meninggalkan mereka, mereka sedang solat, dan sewaktu datang kepada mereka, mereka juga sedang solat."

Hadis daripada Jabir berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Perumpamaan solat yang lima itu adalah seperti air sungai yang penuh, mengalir pada pintu salah seorang antara kamu, yang mana ia mandi lima kali setiap hari dari sungai itu."

Hakikatnya, banyak tawaran yang disediakan bagi mereka yang melaksanakan solat fardu, menjadikan kita bersungguh-sungguh untuk melaksanakannya. Antaranya, sebuah hadis riwayat Muslim daripada Jundub bin Sufyan ra berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang mengerjakan solat Subuh maka ia berada dalam jaminan Allah. Oleh kerana itu, perhatikanlah wahai anak Adam, jangan sampai Allah menuntut kamu kerana jaminan-Nya itu terganggu."

Begitu juga hadis daripada Abu Musa, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang mengerjakan solat Subuh dan solat Asar nescaya masuk syurga."

Bagaimanapun, Islam bukanlah agama yang hanya solat di masjid semata-mata, tetapi Islam juga menyuruh bekerja.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Jumuah ayat ke-10 menyebut: "Kemudian selepas selesai solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah SWT, serta ingatlah akan Allah SWT banyak-banyak (dalam segala keadaan) supaya kamu berjaya ( di dunia dan akhirat)." Wallahua'lam

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails