a

Friday, 26 November 2010

kitab Sifah As-Sofwah, susunan Al-Imaam Al-'Aalim Jamaaluddiin Abil Faroj Ibnu Al-Jauziyy rah.a, jilid 3, halaman 45, 46, 47 dan 48. Daarul Ma'rifah,




siapakah Uwais ini?, begitu tinggi darjatnya sehingga boleh meng istighfarkan Amirul Mukmin, sedangkan Umar adalah salah seorang yg telah dijanjikan syurga. Uwasi al Qarni ..." seorang yang tidak terkenal di bumi, tetapi amat terkenal di langit"...

Daripada Abu Hurairah r.a., katanya : Telah bersabda Rasulullah saw (mafhumnya kira-kira) 揝esungguhnya Allah 'Azza wa Jalla menyintai akan makhluuqNya yang bersifat :

(i) al-asfiyaa` (iaitu orang-orang yang mempunyai hati dan rohani yang bersih, suci, jernih dan tulus dan benar-benar mendampingi Allaah swt) lagi bersifat


(ii) al-akhfiyaa`(iaitu orang-orang yang mengasingkan diri mereka daripada orang ramai atau orang-orang yang ber'uzlah, yang diam-diam, yang sembunyi-sembunyi, kerana Allah swt) lagi bersifat

(iii) al-abriyaa` (iaitu orang-orang yang terkena debu/berdebu, iaitu orang-orang yang kehidupannya adalah tersangat miskin, penuh pengorbanan dan kesabaran di atas kesusahan dan keperitan hidup yang mereka lalui kerana Allah swt) lagi bersifat

(iv) asy-sya'ithah ruusuhum (iaitu orang-orang yang mana adalah rambut mereka kusut gemusut, tidak teratur, mungkin kerana sibuk dengan urusan-urusan ukhrowi dan juga menghadapi liku-liku kemiskinan hidup dan juga pengorbanan atas agama Allah swt) lagi bersifat

(v) al-mughobbaroh wujuuhuhum (iaitu orang-orang yang mana wajah-wajah mereka penuh berlumuran debu, lantaran liku-liku kesusahan yang dihadapi dalam hidup mereka yang serba sederhana dan kekurangan dan kerana Allaah swt) lagi bersifat

(vi) al-khomsoh butuunuhum (iaitu orang-orang yang tersangat kempis perut-perut mereka kerana kelaparan dan kurang makan, sama ada kerana sememangnya tiada makanan/miskin, atau pun kerana banyak berpuasa dsbnya), dan lagibersifat

(vii) iaitu orang-orang yang bila memohon keizinan (kebenaran/perkenan) daripada pemimpin-pemimpin maka tidak diizinkan atau tidak diperkenankan bagi mereka, dan lagi bersifat

(viii) kiranya mereka meminang wanita-wanita yang berharta atau berkedudukan duniawi sedikit maka pinangan mereka ditolak (lam yunkahuu, iaitu mereka tidak akan dinikahkan dengan wanita-wanita tersebut) dan lagi bersifat

(ix) kiranya mereka ghoib atau menghilangkan diri (daripada sesuatu majlis atau tempat mithalnya), maka mereka tidak akan dicari oleh orang lain (iaitu orang ramai tidak ambil kisah dengan kehilangan atau pemergian mereka) dan lagi bersifat

(x) kiranya mereka muncul atau hadhir (dalam sesuatu majlis atau sesuatu tempat mithalnya), maka orang ramai tidak gembira dengan kemunculan atau kehadhiran mereka itu, dan lagi bersifat

(xi) kiranya mereka jatuh sakit, maka mereka tidak diziarahi (iaitu orang ramai tidakmelawat/ mengunjungi mereka), dan lagi bersifat

(xii) kiranya mereka mati, maka mereka tidak didatangi atau dikunjungi (iaitu orang ramai tidak menziarahi mayat-mayat mereka).

(Setelah mendengar sabdaan Baginda saw itu), maka mereka (ya'nii para sahabat r.a.) telah bertanya : Wahai Rasuulallaah, bagaimanakah bagi kami (untuk mendapatkan) seorang lelaki daripada mereka itu (iaitu orang-orang yang dicintai Allah swt yang mempunyai sifat-sifat di atas)?
Sabda Baginda saw : Itulah Uwais Al-Qoroniyy. Mereka (iaitu para sahabat r.a.) bertanya lagi : Dan bagaimanakah (sifat-sifat) Uwais Al-Qoroniyy itu ?

Sabda Baginda saw : (Dia) mempunyai mata yang agak kebiru-biruan dan juga berwarna kemerah-merahan/perang, di antara kedua bahunya agak jauh (ya'nii bidang dadanya), badannya lurus tegak seimbang bila berdiri, mempunyai warna kulit sawo matang (atau hitam manis), sentiasa cenderung dengan dagunya/janggutnya ke dadanya (ya'nii menundukkan kepalanya kerana tawadhu' dan banyak berzikrullah), pandangan matanya sentiasa berada ditempat sujudnya, sentiasa meletakkan yang kanan di atas yang kirinya, sentiasa mentilawahkan Al-Quraan, sentiasa menangis atas dirinya, mempunyai dua helai kain usang/lusuh, tidak diendahkan oleh orang ramai (iaitu tidak diperhatikan dan tidak dipedulikan oleh orang ramai), sentiasa memakai kain sarung/izaar yang diperbuat daripada suuf (bulu) dan sentiasa memakai selendang yang juga diperbuat daripada suuf (bulu), tidak dikenali (majhuul) pada kalangan ahli bumi, dikenali (ma'ruuf) pada pandangan ahli langit, seandainya dia bersungguh-sungguh memohon kepada Allah swt pastilah Allah swt akan memberikan bahagian-bahagiannya, ketahuilah bahawa sesungguhnya di bawah bahunya yang kiri terdapat bintik putih, ketahuilah bahawa bila datang hari qiyamat nanti dikatakan kepada hamba-hamba: Masuklah kalian ke dalam syurga!, dan dikatakan kepada Uwais : Berhenti, dan mintalah syafaa'at ! Maka Allah 'Azza wa Jalla pun menerima syafaa'atnya seperti mana Robii'ah dan Mudhor.

Wahai 'Umar! Wahai 'Ali, apabila kalian berdua telah berjumpa dengannya maka mohonlah kalian berdua kepadanya supaya dia memohon istighfaar (kepada Allaah swt) untuk kalian berdua, nescaya Allah akan mengampun kalian berdua (menerusi istighfarnya itu).

(Perawi) meneruskan cerita (mafhumnya): Maka mereka berdua (iaitu 'Umar dan 'Ali r.huma) terus menanti dan mencari akan Uwais rah.a. selama sepuluh tahun, tetapi mereka berdua tidak mampu (tidak berpeluang) untuk bertemu dengannya. Tetapi pada akhir tahun itu (iaitu tahun kewafatan 'Umar r.a.), maka 'Umar .r.a. terus naik ke Bukit Abu Qubais (iaitu sebuah bukit yang berhampiran dengan Masjidil Haram) lalu menyeru dengan suaranya yang kuat: Wahai ahli-ahli haji (iaitu jemaah-jemaah haji) daripada Yaman ! Adakah Uwais di kalangan kalian ?

Maka lalu berdirilah seorang tua yang berjanggut panjang dan menjawab: Sesungguhnya kami tidak tahu akan siapakah itu Uwais. Akan tetapi, saya ada seorang anak saudara yang dipanggil Uwais, sebutannya/namanya tidaklah gah pada pandangan orang ramai (iaitu dia adalah amat tidak masyhur), lagi pula dialah yang paling tidak memiliki harta, dan segala urusannya sangat mudah, malah jauh lebih mudah daripada apa yang dapat saya terangkan kepada tuan, dan sesungguhnya dia adalah yang menjaga/mengembala unta kami, dan pada pandangan kami dia adalah seorang yang tidak berharga (iaitu dipandang rendah olehorang ramai).

(Daripada penerangan itu), 'Umar r.a. masih merasa samar-samar lagi, seolah2 beliau tidak mahu akan dia (ya'nii tidak menduga akan dia). Lalu 'Umar r.a. pun bertanya lagi: Anak saudara kamu tu, adakah dia berada di Haram kita ini ?

Jawab orang tua yang berjanggut panjang itu : Na'am (Ya).

Tanya 'Umar lagi: Di manakah ianya boleh didapati?

Jawab orang tua itu: Nescaya dia memperlihatkan dirinya kepada tuan di 'Arafah.

(Perawi) melanjutkan ceritanya lagi (mafhumnya): Maka 'Umar dan 'Ali r.huma pun dengan segera menunggang menuju ke 'Arofah, maka disana mereka berdua mendapati seorang yang sedang berdiri solat, ke arah sebatang pokok, dan ada unta di sekelilingnya yang sedang merumput. Maka mereka berdua r.a. pun menambat kedua ekor himar mereka kemudian menghadapi lelaki itu sambil berkatalah mereka berdua: Assalaamu'alaikum wa rahmatullaah!

Uwais rah.a. meringankan (memendekkan) solatnya kemudian menjawab : Assalaamu'alaikumaa warohmatullaah!

Mereka berdua r.a. bertanya: Siapakah lelaki ini (siapa saudara?)

Jawab Uwais rah.a.: (Saya) adalah seorang pengembala atau penjaga unta dan juga seorang pelayan kepada suatu kaum.

Mereka berdua r.huma membalas: Bukanlah kami bertanya tentang penjagaan /pengembalaan itu, dan bukan juga tentang pelayanan. Siapa nama saudara ?

Jawab Uwais rah.a: 'Abdullaah (hamba Allaah).

Balas mereka berdua r.huma. lagi: Sesungguhnya kami sudah mengetahui bahawa semua ahli langit dan ahli bumi adalah 'Abiidullah (hamba-hamba Allah). Siapakah nama saudara yang mana ibu saudara telah menamakan saudara?


Jawab Uwais rah.a: Eh tuan berdua ni ! Sebenarnya apakah yang tuan berdua hendakkan daripada saya ?

Jawab mereka berdua: Telah menjelaskan kepada kami Muhammmad saw akan sifat-sifat Uwais Al-Qoroniyy, maka sesungguhnya kami telah kenal akan kemerah-merahan dan kebiru-biruan (matanya), dan baginda saw telah mengkhabarkan kepada kami bahawa di bawah bahunya yang kiri ada bintik putih maka jelaskanlah/terangkanlah akan perkara itu kepada kami berdua, maka sekiranya tanda-tanda itu ada pada saudara maka saudaralah dia (iaitu Uwais) yang sebenarnya.

Maka Uwais rah.a. pun menjelaskan (menunjukkan) tanda di bawah bahunya, maka memang benarlah terdapat bintik yang tersebut, maka mereka berdua r.huma pun saling berebut-rebut untuk mengucup akan dia. Dan mereka berdua r.huma berkata: Kami naik saksi bahawa saudaralah Uwais Al-Qoroniyy! Maka beristighfarlah (ya'nii mohonlah maghfiroh/keampunan kepada Allah) untuk kami berdua, semoga Allah swt memberikan maghfiroh untuk saudara!

Jawab Uwais rah.a.: Tidak aku khususkan dengan istighfarku itu akan diriku seorang saja dan tidak juga mana-mana anak Adam, akan tetapi ianya merangkumi semua mu`minin dan mu`minat, dan muslimin dan muslimat, di daratan dan di lautan. Eh tuan berdua ni, di mana Allah swt telah menyingkapkan hal saya kepada tuan berdua, dan Allah swt telah memperkenalkan urusan saya kepada tuan berdua ! Maka sebenarnya siapakah tuan berdua ni?

Lalu 'Ali r.a. menjawab: Maka ada pun yang ini adalah 'Umar, Amiirul Mu`miniin, dan ada pun saya ini adalah 'Ali bin Abi Tholib.

(Setelah mendengar penerangan 'Ali r.a.) maka berdirilah Uwais rah.a. sambil berkata: Assalaamu'alaika Yaa Amiirol Mu`miniin, Warohmatullaahi Wa Barokaatuh! Dan tuan, Ya 'Ali bin Abi Tholib, semoga Allah membalas tuan berdua (kerana berkhidmat) kepada ummat ini dengan penuh kebaikan!

Lalu membalaslah mereka berdua r.huma: Dan saudara, semoga Allah swt membalas terhadap diri saudara dengan penuh kebaikan juga!

Maka berkatalah 'Umar r.a. kepada Uwais rah.a.: Tempat saudara, semoga Allah swt merahmati saudara, sampai saya memasuki Makkah nanti, maka saya akan datangkan buat saudara nafkah daripada pemberian saya dan kelebihan kain pakaian daripada pakaian saya, tempat ini hanyalah sekadar mii'aad (waktu yang telah ditentukan) saja di antara saya dan saudara.

Terus Uwais rah.a. membalas: Mii'aad (waktu yang telah ditentukan) diantara saya dan tuan, saya (mungkin) tidak (akan) melihat atau bertemu tuan lagi selepas hari ini, maka perkenalkan kepada saya (ya'nii beritahulah saya) apa yang saya nak buat dengan nafaqoh itu dan dengan kain pakaian itu? Tidakkah tuan melihat bahawa saya masih sedang memakai kain sarung daripada suuf dan juga kain selendang daripada suuf? Bilakah tuan melihat saya merobekkan kedua-duanya itu (iaitu kain sarung dan selendang itu)? Tidakkah tuan melihat bahawa saya masih sedang memakai kedua sandal saya yang bertambal ini? Bilakah tuan telah melihat saya melusuhkan keduanya? Sesungguhnya saya telah mengambil empat dirham sebagai upah penggembalaan, maka bilakah tuan melihat saya makan (akan makanan yang telah dibelikan dengan wang itu)? Wahai Amiirol Mu`miniin, sesungguhnya di hadapan saya dan di hadapan tuan ada suatu rintangan yang tersangat sulit untuk diatasi, di mana seorang pun tidak akan dapat melepasi rintangan sulit itu kecuali seorang yang sangat kurus kering badannya lagi ringan (ya'nii sedikit sekali hartanya / miskin), maka ringanlah, semoga Allaah swt merahmati tuan!

Tatkala telah mendengar 'Umar r.a. akan nasihat Uwais rah.a. itu maka terdiam ia dan tidak bergerak seketika, kemudian beliau r.a. melaung dengan suara terkuat yang beliau mampu: Alangkah bagusnya sekiranya ibu 'Umar tidak melahirkan 'Umar! Alangkah bagusnya sekiranya ibu 'Umar seorang perempuan yang mandul yang tidak mengobati/merawat akan kandungannya! Mahukah sesiapa mengikuti jejak langkahnya , dengan apa yang ada padanya dan baginya ?!?!

Kemudian Uwais rah.a. berkata: Wahai Amiirol Mu`miniin, ambillah/mulailah tuan (untuk bertindak sewajarnya) di sini! Dan saya pun mengambil/memulakan (untuk bertindak sewajarnya) di sini juga!

Maka (dengan penuh sayu dan hiba) 'Umar r.a. pun bergerak meninggalkan tempat itu menuju ke arah Makkah dan Uwais Al-Qoroniyy rah.a. pula terus menggiringkan untanya. Dan dengan tiba-tiba kaumnya (iaitu kaum Uwais) telah datang dengan unta-unta mereka. Dan (dengan persetujuan bersama) akhirnya Uwais Al-Qoroniyy rah.a. telah berhenti daripada kerja-kerja penggembalaan dan beliau rah.a. pun menghadapi sepenuhnya (memberikan penumpuan) untuk 'ibadah sehinggalah beliau rah.a. menemui Allaah 'Azza wa Jalla.

Begitulah kira2nya terjemahan kasar drp kitab Sifah As-Sofwah, susunan Al-Imaam Al-'Aalim Jamaaluddiin Abil Faroj Ibnu Al-Jauziyy rah.a, jilid 3, halaman 45, 46, 47 dan 48. Daarul Ma'rifah, Beiruut, Lubnaan.

http://mforum4.cari.com.my/viewthread.php?tid=291319

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails