PELAJAR PINTAR vs PELAJAR KURANG PINTAR.
Kita selalu beranggapan bahawa pelajar/murid terbahagi kepada 2 kategori iaitu pelajar pintar dan pelajar kurang pintar. Fakta itu sebenarnya kurang tepat. Ini kerana secara umumnya, semua pelajar memiliki keupayaan setaraf, cuma stail belajarnya sahaja berbeza.
Sekarang baru kita tersedar, barangkali stail pengajaran & pembelajaran di sekolah yang cenderung kepada satu-satu teknik sahaja tanpa menekankan teknik lain menyebabkan pelajar ‘teknik lain’ kurang menguasai pelajaran hingga menyebabkan mereka tercicir. Mereka bukannya ‘kurang pintar’ atau pelajar‘nombor tercorot’, tetapi mungkin cara kita mengajar yang menyebabkan mereka sedemikian.
Supaya masalah itu tidak berterusan, sudah sampainya untuk kita kembali ke persoalan asas, iaitu bagaimanakah cara manusia belajar memahami sesuatu? Apakah teknik yang lazim mereka gunakan agar ingatan terakam dalam fikiran?
TIP STAIL HAFAZAN ‘ADVANCE’ – UNTUK MEREKA YANG BENAR-BENAR SERIUS SAHAJA.
Salah satu keseronokan ketika saya menghafaz Al-Quran ialah dengan memerhatikan kepelbagaian stail hafazan rakan-rakan. Ada yang pelik, ada yang lain dari yang lain, dan ada juga yang menghafaz tanpa gaya sehingga saya terfikir ‘bilakah dia menghafaz mukasurat itu?
Kepelbagaian gaya & keunikan teknik inilah yang ingin saya kongsikan dengan anda.
Saya akan berikan beberapa contohnya supaya anda lebih teruja. Dahulu, saya ada seorang rakan yang menghafaz tanpa sedikitpun terdengar suaranya membaca. Cukup hanya merenung Al-Quran buat beberapa minit, terkumat-kamit seketika, kemudiannya dia terus tersenyum memandang saya dan berkata ‘Asraff, saya dah hafaz dah mukasurat ni!’
‘Subhanallah! Keajaiban telah berlaku di depan mata!! – itu yang terlintas di fikiran saya ketika itu.
Tetapi, ada juga yang memiliki stail sebaliknya. Seorang ‘senior’ saya di maahad dahulu lebih pelik kaedahnya. ‘Asraff, saya tak boleh menghafaz tanpa mendengar suara rakan lain menghafaz’. Baginya, ‘dengungan’ suara hafazan temannya yang bergema itu seumpama motivasi penggerak jiwa. Ujarnya lagi,‘lagi kuat suara mereka, lagi cepat mukasurat ni saya hafaz!’
Agak pelik bukan? Bagi kita yang biasa dengan suasana yang agak tenang dan sunyi untuk menghafaz, tekniknya memang tidak boleh pakai! Tetapi, bukan cara itu sahaja yang menghairankan, ada lagi yang lebih aneh dari itu….
Seorang lagi rakan saya ketika di maahad dahulu gemar ‘bertawaf’ ketika menghafaz. Dia akan memulakan hafazan wajib dengan membacanya berkali-kali sambil berjalan mengelilingi kelas kami. ‘Tawaf’nya itu akan berterusan sehinggalah habis satu mukasurat dihafaz. Saya terfikir ‘kalaulah dia menghafaz di Masjidil Haram, tentu sudah ‘berguni’ pahalanya mengelilingi kaabah sambil menghafaz!’
Itu tidak dikira lagi stail menghafaz unik lain seperti :
- menghafaz sambil badan digerakkan kedepan-kebelakang ala-ala berzikir,
- menghafaz berbantukan ‘walkman’, di mana bacaan ayat yang dihafaz dari Imam terkenal akan didengar berkali-kali hingga hafaz,
- menghafaz dengan menulis kembali ayat hafazan berulang kali,
- menghafaz dengan menandakan ayat hafazan di mashaf dengan ‘hightlight pen’ hingga ‘berwarna-warni’ Al-Quran dibuatnya,
Serta 1001 macam cara unik lain.
Ini membawa kita kepada soalan, stail apakah yang paling terbaik supaya ayat hafazan lebih mudah ‘melekat’ di ingatan?
PELAJAR PINTAR vs PELAJAR KURANG PINTAR.
Kita selalu beranggapan bahawa pelajar/murid terbahagi kepada 2 kategori iaitu pelajar pintar dan pelajar kurang pintar. Fakta itu sebenarnya kurang tepat. Ini kerana secara umumnya, semua pelajar memiliki keupayaan setaraf, cuma stail belajarnya sahaja berbeza.
Sekarang baru kita tersedar, barangkali stail pengajaran & pembelajaran di sekolah yang cenderung kepada satu-satu teknik sahaja tanpa menekankan teknik lain menyebabkan pelajar ‘teknik lain’ kurang menguasai pelajaran hingga menyebabkan mereka tercicir. Mereka bukannya ‘kurang pintar’ atau pelajar‘nombor tercorot’, tetapi mungkin cara kita mengajar yang menyebabkan mereka sedemikian.
Supaya masalah itu tidak berterusan, sudah sampainya untuk kita kembali ke persoalan asas, iaitu bagaimanakah cara manusia belajar memahami sesuatu? Apakah teknik yang lazim mereka gunakan agar ingatan terakam dalam fikiran?
Disinilah bab ini berperanan.
Menurut kajian pakar psikologi ingatan & pembelajaran, terdapat 3 jenis teknik pembelajaran yang selalu manusia gunakan untuk memahami & merakam apa yang dipelajari. Ia adalah :
1. PEMBELAJARAN VISUAL
2. PEMBELAJARAN AUDIO
3. PEMBELAJARAN KINESTETIK (PERGERAKAN)
1. PEMBELAJARAN VISUAL.
Manusia yang cenderung belajar secara visual secara umumnya adalah individu yang memahami sesuatu idea, fakta, konsep & informasi secara visual, fotografik, gambaran atau imej. Mereka mudah mengingati apa yang mereka lihat, tetapi sukar mengingati apa yang mereka dengar.
Golongan ini lebih mudah memahami sesuatu dalam bentuk gambar, graf, carta, ilustrasi, corak serta bentuk berbanding suara atau bunyi. Mereka secara umumnya lebih kreatif, sukakan teknologi baru dan gemar menyelesaikan masalah matematik yang rumit.
Secara ringkasnya, cara belajar & ingatan mereka lebih berbentuk :
- visual, filem & gambaran.
- memiliki penglihatan dan daya mengecam lebih kuat.
- pintar dalam perkara berkaitan ruang.
- gemar mempelajari sesuatu secara keseluruhan.
- lebih mudah memahami sesuatu dengan ‘tunjukkan kepada saya, nanti saya akan faham’.
Jika sewaktu kecil anda leka dengan permainan Lego, meminati teka silangkata, Sudoku, catur, melukis, membina sesuatu dari material seperti kotak dll, atau ketika disekolah sukakan aktiviti eksperimen saintifik serta program komputer, maka anda boleh dikategorikan sebagai ‘sang pengingat visual’.
Sebagai nota tambahan, untuk pengetahuan anda juga, kebanyakan kita ‘dominan’ dengan kemahiran ini dalam pembelajaran seharian.
2. PEMBELAJARAN AUDIO.
Manusia yang cenderung memahami & mengingati sesuatu secara audio secara umumnya mudah menangkap pembelajaran dalam bentuk bunyi dan suara. Mereka mudah mengingati apa yang mereka dengar, berbanding apa yang mereka lihat.
Secara mudahnya, mereka ini :
- lebih cenderung mengingati irama, lagu & suara.
- memiliki pendengaran tajam.
- pintar dalam priority masa.
- gemar mempelajari sesuatu secara step-by-step.
- belajar sesuatu secara bertahap dari mudah ke sukar.
Perasan atau tidak, bahawa proses pembelajaran di sekolah kita banyak menggunakan teknik ini? Guru-guru ‘berceramah’ depan kelas sampai terlebih masa, pengetua berucap sampai terlajak waktu perhimpunan, hinggalah guru disiplin berleter masalah ‘rambut pelajar lelaki panjang’ tanpa henti!
Agaknya disebabkan itulah, murid-murid kita pun hebat bersembang bila guru tiada dalam kelas!
Bak kata pepatah Latin, Quid Pro Quo! (sama ertinya dengan pepatah melayu : bapa borek, anak rintik.)
3. PEMBELAJARAN KINESTETIK (PERGERAKAN).
Golongan yang cenderung menggunakan gaya pembelajaran kinestetik ialah mereka yang suka memahami & mengingati sesuatu jika ia melibatkan pergerakan. Bagi mereka, pembelajaran yang melibatkan aktiviti fizikal lebih seronok serta lebih mudah difahami dari pembelajaran yang dilakukan secara mendengar atau menonton sahaja. Mereka mahu ‘dilibatkan sekali’ dalam proses, bukannya sekadar menjadi ‘pemerhati’ proses pembelajaran berlangsung.
Secara ringkasnya, mereka ini :
- gemar terlibat secara langsung dalam proses pembelajaran.
- menghadapi masalah dalam pembelajaran jika ia dilakukan secara mendengar & menonton sahaja.
- muda faham jika ia melibatkan praktikal, simulasi, eksperimen & demonstrasi.
- bagus dalam aktiviti luaran yang melibatkan penggunaan anggota badan.
- lebih mudah memahami sesuatu dengan cara ‘biar saya buat dahulu perkara itu’.
Jika anda selama ini ‘jaguh’ dalam bidang seperti sukan, eksperimen kimia, berlakon atau apa sahaja yang banyak melibatkan pergerakan atau aktiviti, maka anda boleh dianggap termasuk dalam kelompok ini.
KEBAIKAN KETIGA-TIGA TEKNIK INI :
- Disebalik 3 teknik pembelajaran yang diterangkan di atas, sebenarnya masih ada 3 lagi teknik pembelajaran lain iaitu :
1. Pembelajaran Logikal : banyak menggunakan logik, sebab-akibat dan sistem dalam memahami sesuatu.
2. Pembelajaran Sosial : Mudah menguasai pelajaran melalui perbincangan dengan orang lain atau secara kumpulan.
3. Pembelajaran bersendirian : Suka memahami sesuatu secara sendirian.
Tetapi ketiga-tiga teknik ini tidak ditekankan dalam bab ini kerana ia kurang relevan dengan topik perbincangan kita iaitu hafazan & ingatan Al-Quran.
Mungkin ada yang bertanya – teknik pembelajaran ini berguna sewaktu di sekolah sahaja, soalnya apa sangkut-pautnya dengan hidup saya sekarang?
Sabar dahulu, biar saya terangkan kaitan serta faedahnya sejelas mungkin.
Kalau hendak disenaraikan, banyak sangat faedahnya. Ini kerana jika diamati secara mendalam, teknik pembelajaran yang digunakan amat mempengaruhi pencapaian hidup kita. Selama ini secara tanpa sedar, ia telah menjadi ‘jurupandu’ kepada cara kita mempelajari & memahami sesuatu hingga berjaya.
Perkara ini tidak boleh dianggap ‘rasanya itu sumbangan kecil sahaja…’, sebab impaknya terlalu besar kepada diri anda dari apa yang disangkakan. Teknik pembelajaranlah yang menjadi ‘batu asas’ fikiran anda – bermula dari proses kita merakam ingatan, mengeluarkannya kembali hinggalah kepada mencorakkan persoalan hidup yang lebih kompleks seperti teknik kita berkomunikasi serta menjalankan sesuatu tugasan.
Melihat kepada betapa besar sumbangannya kepada hidup, tidakkah dengan memahami teknik belajar yang ‘cocok’ dengan diri kita, ia bakal meningkatkan kualiti kehidupan hingga ke tahap melajukan ‘speed’menghafaz & menyimpannya kemas-kemas dalam ingatan?
Itulah arah perbincangan kita seterusnya iaitu : cara terbaik untuk memanipulasi segala teknik pembelajaran di atas untuk menguatkan hafazan.
Tetapi sebelum kita pergi lebih jauh, mungkin ada yang terfikir, adakah selama ini kita hanya menggunakan satu teknik pembelajaran sahaja?
Tidak juga. Walaupun anda cenderung menyukai satu-satu teknik pembelajaran sahaja, tetapi hakikatnya, kita lebih sering menggabungkan 2 atau 3 teknik pembelajaran untuk memahami sesuatu perkara setiap hari.
Malahan selalunya, kita akan menyesuaikan teknik pembelajaran tertentu berdasarkan topik pelajaran serta situasi semasa. Kerana itulah, pilihan buat diri anda masih terbuka. Anda bebas menggunakan teknik yang paling disukai, atau gabungkannya berdasarkan situasi agar berjaya ‘menuai’ hasil yang paling optimum.
Dan jika ada yang risau dengan menyangka ‘Susahlah kalau begitu sebab saya dah biasa gunakan teknik pembelajaran ‘A’ sahaja!…’.
Nasihat saya, buang jauh-jauh kerisauan anda. Sebabnya, kita pernah dianggap ‘pakar’ dalam menggunakan ketiga-tiga teknik tersebut sepanjang hidup. Jika diperhatikan ketika kecil sewaktu di alam tadika serta awal persekolahan, kita gemar belajar secara kinestetik iaitu dalam bentuk aktiviti, bermain bersama rakan, mencuba sesuatu dan sebagainya. Kemudian, ia beransur-ansur berubah kepada teknik pembelajaran visual iaitu menonton, memerhatikan dan sebagainya. Sebaik sahaja kita masuk ke sekolah menengah, corak pembelajaran kita mulai berubah kepada teknik pembelajaran audio, iaitu mendengar penerangan guru di hadapan kelas.
Kalau dilihat dari sudut jantina pula, kaum lelaki lebih sukakan pembelajaran secara kinestetik. Maka tidak hairanlah mereka suka bertukang, membina sesuatu, bersukan bahkan sekarang – memasak!
Begitu juga perempuan. Selari dengan naluri mereka yang suka bercakap, mereka lebih cenderung kepada corak pembelajaran audio.
Tetapi yang paling penting ialah, kita tidak boleh mendabik dada dengan mengatakan ‘teknik pembelajaran sayalah yang terbaik’, atau ‘patutlah awak ini lembab, sebab teknik belajar awak yang kurang berkesan…’.
Setiap individu dilahirkan berbeza dari yang lain. Oleh itu, jangan sekali-kali mencuba sepasang kasut kepada semua. Bagi sesetengah orang, teknik pembelajaran visual-lah paling berkesan, tetapi mungkin tidak bagi yang lain. Ada juga yang ‘tidak faham-faham’ sesuatu perkara sehinggalah dia sendiri mencubanya. Yang penting, kesemua fakta di atas dipersembahkan agar kita dapat mengenalpasti kekuatan serta kelemahan diri dengan lebih mendalam. Semoga melaluinya, kita memiliki lebih banyak pilihan untuk digunakan untuk memahami sesuatu pelajaran.
Sekurang-kurangnya, ia diharap dapat mencetuskan idea : ‘Oh, patutlah selama ini saya lembab belajar kerana tersalah guna teknik rupanya!’.
APA KEPENTINGAN MAKLUMAT INI KEPADA HAFAZAN ANDA?
Benar kata cerdik pandai, strategi yang tepat dan berkesan adalah senjata ampuh kedua selepas doa kepada Allah. Jenis serta cara kita mengingati sesuatu merupakan perkara yang termasuk dalam ‘bab strategi’ ketika menghafaz. Ia amat berguna untuk mengenalpasti corak ingatan dipetakan dalam minda kita.
Jika anda merasakan diri anda termasuk dalam golongan ‘ingatan visual’, maka :
1. Anda tidak digalakkan untuk bertukar-tukar mashaf. Ia adalah ‘the most important rule’ yang tidak boleh dilanggar. Kalau dalam hukum fiqh, melanggar peraturan ini ‘haram’ hukumnya. Ini kerana, hafazan berbentuk visual akan membentuk ‘ingatan fotografik’ dalam minda. Jika anda sering bertukar mashaf, ditakuti gambar mukasurat yang dirakam dalam minda juga akan bertukar-tukar. Takut-takut, hafazan anda akhirnya nanti saling tak ubah macam ‘rojak’, - macam-macam ada!
2. Anda perlu mengecam betul-betul mukasurat yang dihafaz dengan mengenalpasti pola susunan ayat, tanda waqafnya serta tidak dilupakan, hukum tajwid unik (seperti saktah, isymam dll) yang mungkin wujud dalam mukasurat itu. Begitu juga, anda perlu mengingati letak setiap mula awal ayat, tanda waqaf pilihan (seperti huruf jim kecil, lam-alif kecil dll) serta kedudukan hujung ayat itu berakhir samada awal, tengah atau hujung mukasurat.
3. Gunakan ‘highlight pen’ ketika menghafaz dengan menandakan setiap ayat yang sukar, hukum tajwid yang selalu dilanggar, atau tempat yang paling sering anda lupa. Mungkin ada yang bertanya‘tetapi ustaz, bukankah Al-Quran tidak boleh diconteng? – Jangan risau, kita boleh menggunakan kreativiti tanpa perlu menconteng Al-Quran cantik anda sedikitpun! Fotokopi sahaja mukasurat yang ingin dihafaz, kemudian terpulang kepada anda untuk menandakannya puas-puas!
4. Ini satu lagi teknik berkesan untuk golongan pengingat visual. Fotokopi besar-besar mukasurat yang ingin dihafaz, kemudian tampalkannya disekeliling bilik atau pejabat anda. Teknik ini pernah saya lakukan dahulu setelah mendapat ilham dari satu surau yang menggantung besar-besar (besar sungguh!)3 mukasurat Surah Sajadah betul-betul depan imam agar mudah beliau membacanya ketika solat Subuh pagi jumaat!
5. Bina graf, carta atau apa sahaja untuk menunjukkan prestasi hafazan anda setiap hari. Ia akan lebih mudah merangsang semangat anda untuk menghafaz apabila melihat pencapaian hafazan dalam bentuk visual. Bahkan, ia juga boleh berperanan sebagai ‘reminder’ berkesan – MasyaAllah!, sudah dua minggu saya masih tersekat menghafaz mukasurat sama sahaja!
6. Banyakkan menulis kembali ayat yang telah dihafaz tanpa merujuk mashaf kerana melaluinya sahaja, kekuatan ‘ingatan mukasurat’ tersebut benar-benar teruji. Anda akan mendapati teknik ini benar-benar memberikan manfaat besar kerana melaluinya, kita akan dapat pastikan ‘ayat sekian bermula di kedudukan sekian’ dalam setiap mukasurat. Jika tulisan itu lebih banyak yang betul dari salahnya, maka ingatan hafazan anda dianggap sudah di tahap ‘almost perfect’ dan layak diberikan penghargaan, sama seperti potret lukisan pemandangan lama yang dilukis hampir seratus-peratus serupa walaupun pelukisnya hanya sekali sahaja pergi ke tempat itu! 100% bergantung pada ingatan visual sahaja tanpa kamera digital mahupun video kamera disisi!
Melalui teknik menulis semula ingatan hafazan juga, anda akan dapat mengecam dengan baik ayat awal serta ayat hujung setiap mukasurat dalam sesuatu juzuk/surah. Perkara ini akan terasa manfaatnya bila seseorang bertanyakan anda ‘dimanakah ayat sekian-sekian terletak dalam Al-Quran?’
Anda dengan mudah memberikan jawapan ‘Oh, ayat tersebut terletak di juzuk sekian, maqra’ sekian dan mukasurat sekian…. Kedudukannya pula tengah-tengah mukasurat, sementara ayat sebelumnya ialah sekian-sekian dan ayat selepasnya adalah sekian-sekian…. Sekian, terima kasih..’
Menarik bukan jika anda memiliki ingatan sebegitu?
Tetapi, jika anda merasakan diri anda termasuk dalam golongan ‘ingatan audio’, maka anda perlu :
1. lebih banyak mendengar ayat hafazan melalui cd/rakaman bacaan Imam terkemuka. Jika sibuk, carilah waktu kosong disela kesibukan harian untuk melakukannya seperti mendengar cd ayat hafazan ketika traffic jam atau waktu lain. Begitu juga, andai tugasan yang anda lakukan setiap hari merupakan kerja rutin, kurang bergantung kepada orang lain serta kurang pengawasan, mungkin anda boleh melakukan kerja tersebut sambil mendengar ayat hafazan dari Ipod atau alat elektronik lain.
Dan, jika anda merupakan seorang ‘freelance’, pekerja S.O.H.O (small office home office) atau surirumah sepenuh masa, kerja mengulang akan menjadi lebih mudah! Pasang sahaja cd/kaset ayat hafazan tersebut di radio sepanjang hari. Jika mahu lebih ekstrem, pertimbangkan teknik ini : dengan beranggapan suara anda tidak mengganggu jiran sebelah rumah, mungkin sudah sampai masanya waktu anda ber‘karaoke pahala’ – ikuti bacaan ayat qari tersebut kuat-kuat!
2. Teknik ‘rakam suara sendiri dan dengar semula’ amat berkesan untuk menjadikan kualiti hafazan anda lebih kuat. Saya pernah menggunakan teknik ini dan Alhamdulillah, ia memang banyak membantu terutamanya dalam mengenalpasti sebutan huruf yang tidak begitu tepat. Melaluinya juga, saya dapat mengecam ‘lompong hafazan’ seperti tempat paling sering kesalahan tajwid berlaku, serta memperbetulkan intonasi bacaan agar setaraf dengan ‘lahjah arab’.
Bonus terbesarnya pula ialah, teknik ini sahaja yang berjaya mendedahkan kelemahan utama saya yang selama ini tidak disedari – rupa-rupanya, ada juga saya tersalah baris ketika menghafaz!
3. Agar ingatan menjadi lebih mantap, cuba sekali-sekala tawarkan diri sebagai imam di surau/masjid berdekatan. Saya yakin, jika kena caranya, pasti para jemaah menyukai bacaan anda. Ini kerana, disebabkan anda menghafaz berbantukan bacaan imam popular, anda sebenarnya secara tidak langsung menghafaz sekali ‘irama’ & ‘lenggok’ lagunya.
Bayangkan jika imam pujaan yang sering diikuti ialah Syeikh Sudais imam Masjidil Haram, sementara anda pula menjadi imam dengan mengikuti lenggok bacaannya 100 peratus, pasti heboh satu kampung dengan berita : ‘Gempar! - ‘Imam Masjidil Haram datang solat subuh di surau kampung kita!!’
Cuma satu sahaja pesanan saya, pastikan mutu suara serta ‘piching’ anda setaraf dengan Imam Sudais. Kalau tidak, takut-takut tajuk berita di atas bertukar pula menjadi : ‘Jemaah kita si xxx cuba tiru lagu Imam Sudais masa jadi imam, tapi makmum ramai ‘Mufaroqah’ sebab ‘piching’ lari!!
3 : Tetapi, jika anda merasakan diri anda termasuk dalam golongan ‘ingatan kinestetik’, maka anda perlu :
1. biarkan badan anda bergerak-gerak ‘ala berzikir’ ketika menghafaz. Tidak kisahlah samada gerakannya kedepan-belakang atau kekiri-kanan, yang penting jangan sekali-kali anda cuba menahan gerakan tersebut berhenti.
Ini kerana ada rahsia besar tersembunyi di dalamnya. Melalui pergerakan itulah, ia berfungsi semacam‘generator’ hafazan di mana, semua ayat yang sedang dihafaz sedang disimpan perlahan-lahan. Malahan, anda akan lebih mudah mengingati semula apa yang diingati berdasarkan gerakan badan yang dilakukan ketika ia disimpan.
2. Teknik di atas ialah bagi mereka yang gemar ’bergerak setempat’. Ada juga teknik kedua yang lebih suka menggerakkan semua anggota badannya ketika menghafaz seperti rakan ‘tawaf kelas’ saya yang diceritakan sebelum ini. Jika anda termasuk dalam golongan tersebut, baguslah kerana anda bakal mendapat bonus tambahan iaitu : bersenam sambil menghafaz!
Memang berbaloi untuk anda. Pahala dapat, kesihatan pun meningkat!
3. Mungkin juga ada yang agak ‘slow motion’ gerakannya. Bagi mereka, 2 teknik gerakan di atas tidak sesuai untuk digunakan. Oleh itu, saya mencadangkan teknik ketiga yang lebih santai iaitu : ketika menghafaz, gerakkan objek kecil seperti menggerakkan pensel atau objek seperti guli, pemadam dan sebagainya.
Teknik ini pernah dilakukan oleh salah seorang anak murid saya dahulu. Saya sering memerhatikannya yang leka menggerak-gerakkan pensel dijarinya ketika menghafaz. Apabila ditegur, dia menjelaskan‘ustaz, saya lebih ‘khusyuk’ menghafaz jika pensel ini sama bergerak dengan saya!’
Tidak kisahlah apa yang anda gerakkan, kerana setiap individu memiliki stail pergerakan tersendiri – samada cara berjalan, arah gerakan badan atau sebarang ‘rhythm’ gerakan ketika menghafaz. Yang penting, pergerakkan tersebut amat membantu pencapaian hafazan. Ini kerana bagi golongan ‘pembelajaran kinestetik’, gerakan tersebut samalah fungsinya seperti bateri yang dipasang pada ‘kereta control’.
Semakin bagus baterinya, semakin laju keretanya.
Bagi mereka pula, semakin aktif gerakannya, semakin ‘laju’ hafazan mereka.
Mungkin ada yang terfikir, ‘Benarkah apa yang Ustaz Asraff katakan ini? Macam cerita dongeng sahaja… Adakah beliau menokok-tambah teknik sekadar untuk penyedap cerita sahaja?
Jawapan saya : jika anda memahami betul-betul apa yang saya bincangkan, maka amat jelas kelihatan bahawa selama ini, itulah teknik menghafaz yang banyak para ‘hafiz’ gunakan tanpa sedar.
Cuba amati betul-betul bagaimana pelajar tahfiz di Pakistan, Arab Saudi, Mesir atau mana-mana maahad tahfiz berdekatan anda menghafaz. Ketika membaca Al-Quran, badan mereka akan sama bergerak kekiri-kekanan semacam tarian. Seorang rakan saya pelajar hafazan di Pakistan bahkan pernah berkongsi pengalamannya : ‘di sana, jika kita berhenti menggerakkan badan ketika menghafaz, InsyaAllah besar kemungkinan kita akan dirotan ustaz!’
Sebabnya bagi para ustaz tersebut, gerakkan badan dianggap semacam ‘indicator’ hafazan – selagi mereka bergerak, selagi itulah mereka dianggap sedang menghafaz. Ketika itu, mereka saling tak ubah seperti ‘mesin menghafaz’ – gerakkan enjin, barulah hasil hafazan akan keluar.
Tidak percaya? Mudah sahaja ujiannya. Jika mereka terlupa sambungan satu-satu ayat, cuba gerakkan badan atau berjalan, pasti sambungan ingatan ayat itu berderu-deru keluar!
CARA SAYA MENGHAFAZ…
Tentu ramai yang ingin mengetahui bagaimana teknik saya menghafaz?
Selalunya, saya menggabungkan ketiga-tiga cara. Ketika mula menghafaz, saya akan mengecam betul-betul pola kedudukan ayat, tajwid serta tanda waqaf (visual). Kemudian, saya gunakan suara yang agak kuat (audio) ketika menghafaz ayat demi ayat. Selalunya bila sudah asyik membaca, badan saya akan mula bergerak-gerak mengikuti ‘irama’ ayat yang dibaca (kinestetik).
Melalui pemerhatian saya, kesemua teknik memiliki kelebihannya tersendiri. Teknik pertama (visual) amat baik untuk anda mengecam pola kedudukan ayat yang dihafaz. Ia berperanan sebagai ‘basic’ atau ‘tiang seri’ yang ditanam dalam minda lebih awal supaya ingatan hafazan anda mudah disusun selepas itu.
Teknik kedua pula (audio) lebih berkesan untuk jangka panjang. Memang benar, ia mengambil masa kerana anda perlu mendengar cd bacaan ayat hafazan sama berkali-kali. Tetapi berita baiknya ialah, ‘irama’ ayat bacaan tersebut bukannya tersimpan dalam ingatan jangka pendek, tetapi ia terus disimpan di ingatan jangka panjang.
Saya pernah menggunakan teknik hafazan audio ketika mengingati Surah Yunus dan Surah Maryam dengan mendengar kaset bacaan Imam Al-Ghamidi berulang kali. Hasilnya MasyaAllah Tabarakallah!Sama seperti lagu NegaraKu yang kekal di ingatan kerana dinyanyikan berkali-kali sejak kecil, ingatan 2 surah tersebut saya anggap ‘paling kukuh’ dalam ingatan selepas 3 Qul dan Surah Al-Fatihah.
Bagi teknik ketiga (kinestetik), ia amat berguna untuk melajukan ‘speed’ hafazan anda. Ia juga boleh membantu anda untuk lebih ‘khusyuk’ ketika menghafaz kerana bila badan kita bergerak seiring dengan ‘irama’ ayat hafazan yang dilagukan, kita sebenarnya sedang berada dalam keadaan sangat asyik, ‘separa khayal’ atau istilah psikologinya – ‘trance’.
Keadaan ini amat membantu kerana melaluinya, tumpuan menghafaz kita akan lebih terarah, lebih‘feeling’ dan kurang memikirkan perkara lain. Mengambilkira keadaan tersebut, pastinya kelajuan hafazan anda akan lebih bertambah, jumlah hafazan lebih banyak, dan kualitinya pula menjadi lebih baik!
Cadangan saya : cubalah praktikkan ketiga-tiga teknik di atas. Saya telah mencubanya danAlhamdulillah, melaluinya Tuhan telah anugerahkan kualiti hafazan yang bagus.
Kini tibalah giliran anda untuk mempraktikannya ketika menghafaz menggunakan Kaedah Jibril.InsyaAllah, anda bakal memperolehi hafazan berkualiti ‘Gred A’ - hafazan paling maksimum pada waktu paling minimum!
Tetapi, sebelum semua itu dilakukan, jangan lupa untuk aktifkan dahulu ‘senjata utama’ kita – doa & keikhlasan.
Berdoalah seikhlas mungkin, kerana melaluinya sahaja keajaiban bakal berlaku.
Ya Allah, bantulah kami dan perkenankanlah.
Robbuna Yusahhil, Amin Ya Robbal Aa’lamiin.
No comments:
Post a Comment