Daripada Abu Hurairah r.a, dari Nabi s.a.w;
“ Sesungguhnya seorang lelaki telah menziarahi saudaranya di kampung lain. Maka Allah Taala menghantar malaikat untuk mengintip perjalanannya. Apabila lelaki itu melalui jalan yang ditunggui oleh malaikat itu, malaikat itu bertanya; Ke mana kamu ingin pergi? Dia berkata: Aku ingin pergi bertemu saudaraku di kampung ini. Malaikat bertanya; Adakah bagi kamu ada apa-apa tujuan daripada nikmat yang akan kamu perolehi darinya? Lelaki itu menjawab: Tidak, melainkan kerana aku menyayanginya kerana Allah Taala. Lalu malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku merupakan utusan Allah kepadamu untuk menyampaikan bahawa Allah Taala menyayangimu sebagaimana kamu menyayangi saudaramu keranaNya”
Diriwayatkan oleh Muslim, diambil dari Abu Hurairah, bahawa Rasulullah bersabda:
“Sesungguhnya Allah berfirman pada hari Kiamat: Wahai manusia, aku sakit tapi kamu tidak menziarahiku. Manusia menjawab: Wahai Tuhan, bagaimana aku hendak menziarahiMu, sedangkan engkau Tuhan Sekelian Alam? Allah berfirman: “Adakah tidak kamu ketahui bahawa hambaku si pulan itu sakit, tapi kamu tidak menziarahinya? Adakah kamu tahu, bahawa jika kamu menziarahinya maka kamu akan mendapati Aku di sisinya?
Wahai manusia, aku meminta makanan dari kamu, tapi kamu tidak memberi aku makan. Manusia menjawab: Wahai Tuhan, bagaimana aku hendak memberi Engkau makan, sedangkan engkau Tuhan Sekelian Alam? Allah berfirman: “Adakah tidak kamu ketahui bahawa hambaku si pulan itu meminta makanan, tapi kamu tidak memberinya makanan? Adakah kamu tahu, bahawa jika kamu memberinya makanan maka kamu akan mendapati makanan itu di sisiKU?
Wahai manusia, aku meminta minuman dari kamu, tapi kamu tidak memberi aku minum. Manusia menjawab: Wahai Tuhan, bagaimana aku hendak memberi Engkau minum, sedangkan engkau Tuhan Sekelian Alam? Allah berfirman: “Adakah tidak kamu ketahui bahawa hambaku si pulan itu meminta minuman, tapi kamu tidak memberinya minuman? Adakah kamu tahu, bahawa jika kamu memberinya minuman maka kamu akan mendapati minuman itu di sisiku?
Allah memberi perhatian yang tinggi dan kasih sayangnya kepada hambanya yang sakit dan hambanya yang kelaparan. Kerana itu disebut “Aku berada disisinya.
Seorang muslim yang menziarahi saudara Islamnya juga didoakan oleh 70 ribu malaikat agar diampuni dosanya. Dalam sebuah hadith disebut “Tidaklah seorang Islam itu menziarahi seorang Islam yang lain pada waktu pagi, melainkan berselawat (berdoa) ke atasnya 70 ribu malaikat sehingga ke petang, dan tidak dia menziarahinya pada waktu malam, melainkan berselawat ke atasnya 70 ribu malaikat sehingga ke pagi, dan baginya buah-buahan yang dipetik di Syurga.”
AMALAN ziarah-menziarahi sememangnya dituntut oleh agama. Bukan sekadar menziarah kaum keluarga atau sanak saudara bahkan jiran-jiran terdekat hatta individu yang tidak pernah dikenali sebelum ini.
Hakikatnya, kunjung mengunjung dan ziarah menziarahi sememangnya amalan yang dituntut oleh agama Islam. Bukan sekadar menziarahi sanak saudara tetapi juga jiran-jiran terdekat malah setiap individu walaupun tidak pernah kenal sebelum ini. Tujuan kunjung mengunjung ini juga antaranya ialah merapatkan hubungan silaturrahim dan saling bermaaf-maafan. Bukan bertujuan untuk mendapatkan duit raya, atau bersaing baju raya siapa paling cantik atau mahal atau pun melihat-lihat setiap hiasan atau susun atur rumah mereka yang kita kunjungi.
Islam memperincikan beberapa syarat atau adab yang perlu diamalkan ketika seseorang individu Muslim berhasrat untuk menziarahi jiran atau sanak-saudara, bukan sahaja di hari raya malah juga ketika hari-hari biasa. Adab-adab tersebut diperincikan bermula daripada sebelum berziarah, semasa menziarah dan juga selepas menziarah termasuk perkara-perkara yang perlu dihindarkan ketika berziarah. Saya ringkaskan seperti di bawah:
Adab sebelum berziarah:
Memilih masa yang sesuai
Memakai pakaian yang menutup aurat dan sopan
Berniat pertemuan dan perpisahan adalah kerana Allah
Masa yang sesuai adalah dikira berdasarkan keselesaan pihak yang anda kunjungi, bukan keselesaan pihak anda. Sebagai contoh, kunjungan ke rumah seseorang tanpa perkhabaran terlebih dahulu, melebihi jam 10 malam sebab masa tersebut telah dikira sebagai masa rehat, bukanlah masa yang sesuai. Jalan terbaik, khabarkan terlebih dahulu kepada tuan rumah mengenai kunjungan anda.
Adab semasa menziarah:
Memberi salam dan bersalaman
Meminta izin untuk masuk
Memendekkan tempoh ziarah
Mengawal pandangan
Merendahkan suara
Memendekkan tempoh ziarah bermaksud tidak bersenang-senang di rumah tersebut dalam masa yang lama. Seseorang dikira sebagai tetamu hanya di dalam tempoh tiga hati ziarah. Walaupun begitu, anda perlu peka dengan keadaan dan situasi tuan rumah, agar kunjungan anda tidak sampai menimbulkan ketidakselesaan kepada mereka. Mengawal pandangan pula termasuklah mata anda tidak meliar merayau-rayau ke segenap ceruk rumah meneliti setiap hiasan atau susun atur kelengkapan rumah yang anda kunjungi.
Adab selepas menziarah:
Meminta izin apabila hendak beredar
Memberi salam dan bersalaman sebelum beredar
Perkara yang perlu dihindarkan semasa menziarah:
Enggan memberi salam
Masa yang tidak bersesuaian
Mengaibkan tuan rumah
Mengumpat
Satu perkara yang perlu diingat juga, memberi salam kepada tuan rumah turut mempunyai syarat yang tertentu. Jika pintu rumah terbuka, jangan berdiri di depan muka pintu dan member salam. Anda perlu berdiri agak jauh dari muka pintu, anggaran tidak dapat melihat isi rumah termasuk tuan rumah, bimbang terdedah aurat tuan rumah atau apa-apa sahaja yang mungkin tidak mahu diperlihatkan oleh tuan rumah.