a

Sunday, 12 April 2009

Kisah Dua Orang Musafir.

Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al-Quran untuk pelajaran (difahami dan hafaz), maka adakah orang yang mahu mengambil pelajaran (belajar/menghafaznya)? Al-Qamar:17.

(Bacalah Al-Quran) dan jangan jadikan rumah kamu seperti kubur, tidak dimasuki syaitan rumah yang dibaca di dalamnya surah Al-Baqarah. (Hadith riwayat Tirmizi).

Seseorang yang tiada dalam dadanya suatu pun (apa yang dihafaz) dari Al-Quran samalah keadaannya seperti sebuah rumah yang buruk lagi usang. (Hadith riwayat Tirmizi).

Nabi S.A.W menasihati Abu Zhar: Bertaqwa kepada Allah kerana itulah modal kamu (bertemu Allah), bacalah Quran dan zikir kerana itulah cahaya bagimu di dunia. (Hadith riwayat Tobrani).


Hendaklah menjadi imam orang yang paling banyak menghafaz Al-Quran atau paling baik (tajwid) bacaannya di kalangan kamu. (Hadith riwayat Ahmad)



Hadis yang menyatakan: Sebesar-besar dosa umatku ialah dosa orang yang hafal Quran kemudian lupa, adalah Dhaif dan menakutkan orang menghafal Quran - Yusuf Qardawi.

Kisah dua orang musafir adalah pemisalan antara orang yang menghafal Al-Quran dan orang yang tidak menghafalnya. Orang yang sentiasa menghafal Al-Quran dapat digambarkan sebagai seorang musafir jauh yang mana perlu tiba ke destinasinya dengan cepat. Maka dia akan membekali dirinya dengan makanan yang cukup dan tersedia masak. Sehingga bila musafir itu terasa lapar, lalu dicapainya bekalan yang tersedia masak itu tanpa perlu dia berhenti walau seketika. Maka dengan cara ini, dia dapat tiba ke destinasinya dengan cepat.

Adapun bagi orang yang tidak menghafal Al-Quran, digambarkan juga sebagai seorang musafir yang hala tujuannya adalah sama seperti musafir di atas. Namun, bekalan yang dibawa adalah bekalan mentah yang mana dia perlu mempersiapkan makanannya itu (dengan memasak dan sebagainya) sebelum boleh dimakan. Jadi, apabila dia lapar maka dia perlu berhenti untuk mempersiapkan makanannya itu. Dengan itu perjalanan dia akan lewat setiap kali dia lapar dan berhenti untuk makan.

Demikianlah analogi bagi orang-orang yang menghafal Al-Quran dengan yang tidak.

Orang-orang yang menghafal Al-Quran, dia boleh membacanya sepanjang hari tanpa mengganggu mahupun mencacatkan rutin kerja harian yang lain. Dengan itu, Allah mengizinkan para penghafal Al-Quran untuk membaca dan mengalunkan kalam-kalam agung di mana saja dia berada dan di setiap ketika. Dia boleh mengalunkannya ketika berkenderaan, berjalan, melakukan aktiviti harian seperti memasak, di dalam solat mahupun di luar solat.

Bagi orang yang kurang hafalannya pula, dia memerlukan masa untuk membersihkan diri, berwudhu’ dan kitab Al-Quran ketika dia ingin membacanya. Dan dia perlu mengambil waktu dengan duduk di hadapan mushaf Al-Quran untuk membacanya tanpa boleh membacanya sambil berkenderaan, berjalan mahupun ketika melakukan aktiviti seharian. Dengan itu ia akan membataskan segala kerja-kerja seharian yang lain sehingga lewatlah sebahagian waktunya yang lain.

Oleh kerana itu, para pembaca Al-Quran dan penuntut ilmu, marilah untuk kita sama-sama berusaha memperbaiki ilmu tajwid kita disamping memperbanyakkan koleksi hafalan kalam-kalam agung dari Allah. Kerana dapat dilihat, dengan menghafal Al-Quran ini dapat memberi banyak manfaat kepada diri sendiri dan juga ummat Islam yang lainnya memandangkan masa yang dikurniakan Illahi ini dapat digunakan seoptimum yang mungkin.



http://mofas.wordpress.com/

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails