a

Saturday, 2 July 2011

AURAT WANITA:KONSEP DAN HUKUM MENGENAINYA Oleh: Prof. Madya Datin Dr. Paizah Hj Ismail

bahan ilmiah utk ku

===
AURAT WANITA:KONSEP DAN HUKUM MENGENAINYA

Oleh:
Prof. Madya Datin Dr. Paizah Hj Ismail

Pendahuluan

Masalah aurat wanita suatu tajuk perbincangan yang besar dan memakan ruang yang banyak. Ia merangkumi konsep aurat itu sendiri, batas-batas yang ditentukan, samada dalam sembahyang atau dalam kehidupan biasa. Bahkan, perbincangan tentang aurat dalam kehidupan biasa akan merangkumi pula keadaan yang bermacam-macam, seperti sewaktu berada seorang diri di tempat tertutup atau di dalam gelap, di hadapan muhram, bersama perempuan muslim, bersama perempuan bukan Islam dan akhirnya di hadapan lelaki bukan muhram.

Selain itu, terdapat persoalan-persoalan lain lagi yang berkaitan seperti masalah aurat dalam keadaan darurat (al-Dharurah), konsep berpakaian dan berhias dan sebagainya.
Kertas ini tidak merangkumi semua persoalan-persoalan itu. Ia hanya merangkumi perbincangan tentang konsep aurat wanita itu sendiri dan apakah batas-batasnya sewaktu berada di hadapan lelaki yang bukan muhram. Tujuannya ialah untuk mengelak ianya terlalu panjang dan sesuai dengan apa yang lebih penting dihuraikan.

Konsep Aurat
Perkataan aurat dalam bahasa Melayu berasal daripada perkataan yang sama, iaitu “aurah” dalam bahasa Arab. Dari segi bahasa, ia mempunyai pengertian yang banyak. Antaranya ialah “kemaluan” (al-Sau’at) .
Kata Ibn Athir, pengertian asal bagi perkataan “al-Sau’ah” ialah kemaluan wanita (al-Farj). Kemudian ia memberi erti apa sahaja yang memalukan apabila berlaku samada dalam bentuk kata-kata atau perbuatan . Kata al-Laith, ia bererti kemaluan lelaki atau perempuan . Kerana itu, dalam al-Quran disebut “ فبدت لهما سوأتهما ” , yang merujuk kepada kemaluan Adam dan Hawa. Mengikut al-Laith lagi, berasaskan pengertian itu, al-Sau’ah ini digunakan bagi memberi erti apa sahaja perbuatan atau perkara yang memalukan .
Kata Abdul Qadir al-Razi, sehubungan dengan pengertian di atas, perkataan al-‘Aurah kemudainnya digunakan juga bagi erti apa sahaja yang manusia merasa malu untuk memperlihatkan kepada orang .

Antara pengertian lain bagi perkataan ”’aurah” ialah sesuatu yang perlu ditutup , sesuatu yang kurang dan hodoh , tempat-tempat kelemahan yang mungkin disusupi oleh musuh dan banyak lagi.
Suatu rumusan yang mungkin boleh dibuat berasaskankepada keterang atau huraian di atas, ia perkataan aurat (al-‘Aurah) dalam bahasa Arab mempunyai dua pengertian. Pertamanya, pengertian khusus, iaitu kemaluan (al-Sau’ah) dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Keduanya ialah pengertian umum, iaitu termasuk juga apa sahaja yang dilihat sebagai menyenangkan untuk dilihat atau diketahui orang.
Dalam al-Quran, perkataan “’aurah” ini disebut senanyak empat kali. Satu kali merujuk kepada kemaluan dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya, iaitu dalam firman Allah Yang bermaksud :
“ Katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutup kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka atau putera-putera saudara lelaki mereka atau putera-putera saudara perempuan mereka atau wanita-wanita Islam atau hamba-hamba yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keingainan (terhadap wanita) atau kanak-kanak yang belum mengerti tentang aurat wanita ” – al-Nur (24) : 31

Satu kali merujuk kepada masa atau keadaan yang boleh memalukan iaitu dalam firman Allah Yang bermaksud :
“ Hai orang yang beriman, hendaklah budak-budak (lelaki dan wanita) yang kamu miliki dan yang belum baligh di antara kamu, meminta izin kepada kamu tiga kali (salam satu hari) iaitu sebelum sembahyang subuh ketika kamu menanggalkan pakaian (luar) mu, di tengah hari dan sesudah sembahyang isyak (itulah) tig aurat bagi kamu ” – al-Nur (24) : 58

Sementara dua kali lagi dalam ayat yang sama merujuk kepada tempat kelemahan yang mungkin berlaku pencerobohan melaluinya. Firman Allah Yang bermaksud :
“ Dan (ingatah) ketika segolongan di antara mereka berkata : Hai penduduk Yathrib (Madinah) tidak ada tempat bagimu, maka kembalilah kamu. Dan sebahagian dari mereka meminta izin kepada Nabi (untuk kembali pulang) dengan berkata : Sesungguhnya rumah-rumah kami terbuka (tidak ada penjaga). Dan rumah-rumah itu sekali-sekala tidak terbuka. Mereka tidak lain hanyalah hendak lari.” – al-Ahzab (33) : 13

Sementara, dalam hadis-hadis Rasulullah s.a.w. pula, perkataan ini kerap digunakan bagi pengertian “aurat” secara fizikal. Bagaimanapun, kadangkala ia memberi erti yang lebih umum daripada itu, iaitu apa sahaja kekurangan atau perkara yang boleh memalukan, samada yang bersifat fizikal atau moral.
Bagi pengertian secara fizikal pula, ia merujuk bukan sahaja kepada “kemaluan” tetapi juga anggota-anggota tubuh lain, terutama antara pusat dan lutut. Antara hadis yang menyebut “aurat” dalam pengertian seperti itu ialah :
“ فخذ المرء المسلم عورة ”
Yang bermaksud :
“ Peha seseorang muslim itu aurat ” – (Hadis riwayat Ahmad)

Antara hadis-hadis yang menyebut perkataanni bagi pengertian yang luas, termasuk hal-hal moral ialah :
“ من ستر مؤمنا فى الدنيا على عورة ستر الله عز وجل يوم القيامة ”
Yang bermaksud :
“ Sesiapa yang di dunia ini menutup kemaluan mana-mana orang Islam, Allah akan melindunginya (daripada apa-apa yang memalukan) di hari kiamat ” (Hadis riwayat Ahmad)

Berasaskan kepada penggunaan dalam al-Quran dan al-Sunnah juga rumusan boleh dibuat seperti di atas, iaitu dari segi penggunaan biasa perkataan “aurat” mempunyai dua pengertian. Pertamanya pengertian-pengertian khusus, iaitu “kemaluan” dan perkera-perkara yang berkaitan dengannya secara fizikal. Keduanya, pengertian umum, iaitu apa sahaja yang dilihat sebagai kurang menyenangkan alau terdedah terdedah kepada orang lain, baik yang bersifat fizikal mahupun moral.

Aurat Sebagai Satu Istilah

Sebagai satu istilah dalam Syariah Islam, “aurat” boleh disifatkan sebagai bahagian tubuh yang perlu ditutup dan tidak didedahkan kepada pandangan orang.

Bagaimanapun, ini bukanlah difinisi yag diberikan oleh para fuqaha. Kerana dalam kitab-kitab klasik, tidak ada definisi aurat yang diberikan, samada dalam kitab-kitab tafsir, kitab-kitab syarah hadis ataupun kitab-kitab fiqh.

Ketiadaan definisi khusus ini mungkin kerana pengertiannya sangat jelas dan tidak perlu didefinisikan lagi. Lagipun, dalam kitab-kitab fiqh, huraian tentang aurat itu tidak dibuat dalam bab yang tersendiri. Ia hanya dihuraikan dalam bab sembahyang sebagai masalah sampingan .

Kesimpulan seperti di atas terdapat dalam sekuarang-kurangnya dalam sebuah buku karangan semasa, iaitu yang ditulis oleh al-Syekh Mamduh Mahmood Abdul-Rahman dalam buku beliau al-Zinah wa al-Jamal Fi Mizan al-Islam . Mengikut beliau, definisi tersebut berumberkan kitab Fiqh al-Sunnah karangan Syed Sabiq.

Bagaimanapun, setelah diteliti, definisi sepertimana yang disebut itu tidak ada dalam dalam kitab berkenaan . Mungkin apa yang dimaksudkan oleh beliau bukan definisi itu sendiri, tetapi konsep yag menjadi asas kepada definisi yang diberikan oleh beliau. Ini memandangkan terdapat tafsiran terhadap istilah “Zinah” dalam ayat al-Quran “خذوا زينتكم عند كل مجد” dengan erti menutup aurat .

Bagaimanapun, apa yang penting ialah konsep aurat itu sendiri dan bukan definisi secara teknikal mengenainya. Ia meruoakan suatu yang jelas berasaskan pengertian-pengertian yang ada di dalam al-Quran dan al-Sunnah, iaitulah sepertimana yang disebut di atas. Berasaskan kepada konsep berkenaan, apa yang dimaksudkan dengan aurat wanita dalam kertas ini ialah bahagian tubuh wanita yang perlu ditutup dan tidak boleh dilihat oleh orang lain. Bagaimanapun, huiraian-huraian selanjutnya mungkin boleh memperincikan lagi konsep ini.

Keterangan-keterangan Daripada Al-Quran dan Al-Sunnah

Nas paling asas yang menyebut tentang keperluan menutup aurat ialah firman Allah Yang bermaksud :
“Hai anak Adam, sesungguhnya kami telah menurunkan kepada kamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan” – al-A’raf (7) 26

Kata al-Qurtubi, ayat ini adalah dalil kepada hukum wajib menutup aurat, kerana di dalamnya ada menyebut “untuk menutupi auratmu” . Kata al-Syaukani, maksudnya Allah telah mencipta pakaian bagi umat manusia bagi menutup aurat yang telah dipamerkan oleh iblis pada diri Adam dan Hawa .

Satu nas lain ialah firman Allah s.w.t. Yang bermaksud :
“Hai anak Adam, pakailah pakaian kamu yang paling indah di setiap (memasuki) masjid” – al-A’raf (7) : 31

Kata al-Qurtubi , dlam Sohih Muslim, Ibn Abbas meriwayatkan ada seorang perempuan telah melakukan tawaf di ka’bah dengan secara bertelanjang. Kata al-Qadi Ibn ‘Iyadh, perempuan tersebut bernama Dhuba’ah binti ‘Amr Ibn Qurt. Dalam Soheh Muslim juga, Hisyam bin ‘Urwah meriwayatkan daripada bapanya bahawa, amalan melakukan tawaf secara bertelanjang ini adalah kebiasaan semua orang Arab kecuali dari suku Quraisy. Ayat ini diturunkan untuk membatalkan amalan seperti ini.

Mengikut al-Qurtubi lagi , ayat ini menjadi dalil kepada hukum wajib menutup aurat. Jumhur berpendapat ia khusus bagi hukum menutup aurat sewaktu bersembahyang. Kata al-Abhari, ia bukan khusus bagi sembahyang, tetapi dalam semua keadaan, samada di dalam atau luar sembahyang.

Pandangan yang sama juga disebut oleh Ibn al-Arabi dan al-Syaukani . Tetapi al-Kayaharrasi berpendapat, ayat ini sekadar bertujuan untuk menerangkan hukum memuliakan masjid dan perbuatan-perbuatan yang berkaitan dengannya dan tidak ada sangkut paut dengan kewajipan menutup aurat, samada di dalam sembahyang atau di luar sembahyang.

Dalam hadis Rasulullah s.a.w. bersabda :
“ لا ينظر الجل إلى عورة الجل ولا المرأة إلى عورة المرأة – رواه المسلم والترمذي وابن ماجه واحمد ”
Yang bermaksud :
“Orang lelaki tidak boleh memandang kepad aurat lelaki dan orang perempuan tidak boleh meihat kepda aurat orang perempuan”. – Diriwayatkan oleh Muslim, al-Termidzy, Ibn Majah dan Ahmad Ibn Hanbal.

Kata al-Imam al-Nawawi , mengulas hadis di atas, hadis ini jelas menunjukkan haram lelaki melihat aurat lelaki dan perempuan melihat aurat perempuan. Sementara hukum haram lelaki melihat aurat wanita dan haram wanita melihat aurat lelaki sabit melalui ijma’.

Selain daripada itu, terdapat banyak lagi hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang menyebut tentang keprluan menutup aurat secara umum, samada di kalangan lelaki atau perempuan . Semuanya ini menunjukkan masalah aurat meruakan masalah yang sangat penting di dalam Islam, bukan sahaja berkaitan dengan soal ibadat, seperti sembahyang, tetapi juga dalam kehidupan umum.

Mengenai aurat wanita secara husus, ayat 31 surah al-Nur yang telah disebut sebelum ini adalah jelas. Firman Allah s.w.t. Yang bermaksud :
“Katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutup kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka atau putera-putera saudara lelaki mereka atau putera-putera saudara perempuan mereka atau wanita-wanita Islam atau hamba-hamba yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keingainan (terhadap wanita) atau kanak-kanak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka menghentakkan kaki mereka agar diketahui perhiasan yag mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu bertudung” – al-Nur (24) “ 31

Kata Ibn Kathir , ini adalah perintah tuhan ke atas wanita-wanita Islam bagi menjaga perasaan suami mereka dan bagi membezakan mereka daripada sifat perempuanjahiliyah dan kelakuan perempuan syirik.

Mengikut beliau lagi, sebab turun ayat ini ialah, sepertimana yang diriwayatkan oleh Jabir Ibn Abdullah an-Ansari bahawa Asa’ binti Murthid adalah seorang wanita yang mempunyai kedudukan di kalangan Bani Harithah. Kerana itu ramai para wanita datang menemuinya. Apabila beliau melihat mereka tidak berpakaian lengkap, sampai ternampak gelang-gelang kali mereka, dan dada-dada mereka pula terdedah, beliau berkata : “Alangkah buruknya andangan seperti itu” Allah s.w.t. lalu menurunkan ayat ini .

Batas-batas Aurat.

Persoalan utama yang timbul berkait dengan kewajipan menutup aurat ini ialah anggota mana daripada badan wanita itu yang dikatakan aurat dan perlu ditutup?

Kata al-Qurtubi, dalam menghuraikan ayat 26, surah al-A’raf, aurat perempuan adalah kesemua tubuh badannya kecuali muka dan kedua tapak tangan sahaja . Bagaimanapun, beliau mengakui itu hanya pandangan golongan terbanyak para ulama sahaja . Ertiya tidak berlaku ijma’ tentang hukum seperti itu.

Bagi beliau, sebab tidak berlaku ijma; dalam masalah ini ialah keranan ada pandangan yang mengatakan aurat perempuan adalah semua tubuhnya. Antara mereka yang berpendapat seperti ini, mengikit beliau ialah Abu Bakr Ab. Rahman Ibn Harith Ibn Hisyam dan Ahmad Ibn Hanbal, mengikut satu riwayat mengenainya pandangannya .

Bagi menyokong pandangan beliau itu, al-Qurtubi berhujah dengan hadis Rasulullah s.a.w. yang berbunyi : “من أراد أن يتزوج امرأة فلينظر إلى وجهها وكفيها” yag bermaksud : “Sesiapa yang mahu mengahwini mana-mana perempuan, dia hendaklah melihat muka dan dua tapak tangannya”. Lagipun, kata beliau, muka dan tapak tangan wajib dibuka sawaktu berpakaian ihram. Ini menunjukkan kedua-dua anggota itu bukannya aurat .

Dalam mentafsirkan perkataan dalam ayat 31, surah al-Nur di atas pula, al-Qurtubi menyebut berbagai-bagai pendapat tentang apa yang dimaksudkan sebagai “kecuali yang (biasa) nampak daripadanya” itu. Kata beliau, Ibnu Mas’ud berpendapat maksdunya pakaian. Sa’id Ibn Jubair, ‘Ata’ dan al-Auza’i pula berpendapat, muka, dua tapak tangan dan pakaian. Ibn Abbas, Qatadah dan al-Miswar Ibn Makhramah pula berpendapat celak, gelang, inai dan tangan sehingga separuh lengan, subang dan cincin .

Mengikut al-Qurtubi lagi , pendapat yangmengatakan separuh lengan juga termasuk dalam maksdu apa yang biasa nampak itu ialah hadis ‘Aisyah r.a. yang menyebut Rasulullah s.a.w. bersabda :

” لا يحل لامرأة أن تؤمن بالله يوم الأخر إذا عركت أن تظهر إلا وجهها ويديها هنا, وقبض على نصف الذارع “

Yang bermaksud :
“Tidak halal bagi mana-mana perempuan yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, apabila sudah mengalami haid, untuk menampakkankecuali muka, dan dua tangan sehingga ke sini. Baginda lalu menggenggam atas separuh lengan”.

Beliau seterusnya menukilkan pendapat Ibn ‘Atiyah yang mengatakan bahwa lafaz-lafaz ayat berkenaan menunjukkan bahawa perempuan diarahkan supaya tidak menampakkan perhiasannya dan perlu sentiasa berusaha menyembunyikannya kecuali yang biasa nampak dalam pergerakan tubuh yang perlu. Dalam kadar itu, mereka dimaafkan.

Bagaimanapun, beliau akhirnya menegaskan pandangan beliau sendiri, iaitu yag dimakudkan ialah muka dan dua tapak tangan. Kerana dua anggota itu sahajaah yang biasa nampak samada dalam kehidupan harian ataupun dalam ibadat, misalnya sembahyang dan haji. Kerana itu, pengecualian berkenaan sesuai merujuk epada dua bahagian anggota itu.

Sebagai dalil kepada pandagan beliau itu, al-Qurtubi menyebut hadis riwayat Abu Daud, daripada ‘Aisyah r.a. bahawa Asma’ binti Abi Bakr datang menemui Rasulullah s.a.w. dengan berpakaian nipis. Rasulullah s.a.w. berpaling daripadanya seraya bersabda :

“يا أسماء ان المرأة إذا بلغت المحيض لم بصلح أن يرى إلا هذا, وأشار إلى وجهه وكفيه”

Yang bermaksud :
“Wahai Asma’, perempuan yang sudah mengalami haid, tidak boleh dilihat kecuali ini” Baginda lalu menunjuk kepada muka dan dua tapak tangan baginda

Tambah al-Qurtubi lagi , pandangan beliua itu lebih halusi dan berhati-hati, malah juga mengambil kira keadaan semasa yang tidak baik. Untuk itu, adalah perlu bagi perempuan untuk tidak menampakkan apa-apa kecuali muka dan dua tapak tangannya sahaja. Sehubungan dengan itu, beliau menyebut pendapat Ibn al-Khuaizi-Mandad yang mengatakan, kalau perempuanitu cantik dan pendedahan muka dan dua tapak tangannya boleh menimbulkan fitnah, dia wajib menutup kedua-duanya. Tetapi kalau sebaliknya dia sudah tua, atau hodoh, dia boleh menampakkan muka dan dua tapak tangannya.

Ibn al-‘Arabi , juga membincangkan hal yang sama iaitu pandangan-pandangan para ulama zaman awal Islam seperti Ibn Mas’ud, Ibn Abbas dan sebagainya. Sepertimana juga al-Qurtubi, beliau mencapai satu kesimpulan bahawa aurat wanita ituialah seluruh tubuhnya, kecuali muka dan dua tapak tangan. Alaan yang dikemukan oleh beliau adalah sama.

Bagi al-Kayaharrasi , maksudnya, apa yang peelu dilihat, misalnya yang lahir seperti pakaian, batu permata, gelang dan cincin, iaitu tidak jauh daripada pandangan-pandangan yang dibincangakanoleh al-Qurtubi dan Ibn al-‘Arabi.

Al-Jassas pula, selepas menghuraikan pandangan-pandangan para guqaha awal Islam, sepertimanan yang dilakukan oleh al-Qurtubi dan Ibn al-‘Arabi membuat kesimpulan bahawa yang dimakudkan ialah muka dan tapak tangan. Asas yang dipegang oleh beliau ialah kedua-dua anggota tersebut tidak ditutup pada waktu menunaikan sembahyang. Hujah beliau, kedua-dua anggota itu aurat tentu sekali ia perlu ditutup dalam sembahyang sepertimana anggota-anggota badan yang lain juga.

Beliau selanjutnya menolak pandangan Ibn Mas’ud yang mengatakan bahawa yang di\maksudkan ialah pakaian sahaja. Kata beliau, ia tidak memberi apa-apa erti (kepada pengecuali berkenaan). Kata beliau lagi, apa yang sebenarnya dimaksudkan dengan “perhiasan” (al-Zinah) dalam ayat tersebut bukan alat perhiasan itu sendiri, tetapi anggota badan di mana perhiasan itu berada. Kerana perhiasann itu sendiri, biar apa pun sahaja bentuknya boleh dilihat oleh lelaki kalau bukan dipakai oleh perempuan . Kerana perhiasan itu sendiri, biar apa pun sahaja bentuknya boleh dilihat oleh lelaki kalau bukan dipakai oleh perempuan.

Al-Syaukani juga, selepas menghuraikan pandangan-pandangan yang berbeza-beza di kalangan para fuqaha di zaman awal Islam dalam masalah berkenaan membuat satu komentar yang menarik. Kata beliau, adalah jelas struktur ayat tersebut mengarah kepada menampakkan perhiasan kecuali yang boleh nampak, seperti jubah, purdah dan sebagainya. Ia tidak termasuk barang-barang perhiasan yang dipakai di tangan dan di kaki. Walaupun yang dimaksudkan dengan “perhiasan” (al-Zinah) itu ialah bahagian anggota di mana ia dipakai, pengecualian hanyalah merujuk kepada anggota yang amat sukar ditutup oleh perempuan, seperti dua tapak tangan dan dua tapak kaki dan seumpamanya .

Asas-asas dan pandangan-pandangan yang dibincangankan dalam kitab-kitab tafsir Ahkam seperti di atas adalah terdapat dalam kitab-kitab tafsir bil-al-Ma’thur. Ibn Kathir misalnya selepas menghuraikan bahawa yang dimaksudkan sebagai “apa yang lahir daripadanya” itu iaah apa sahaja yang tidak boleh disembunyikan telah membentangkan pandangan-pandangan para ulama zaman awal Isam, seperti Ibn Mas’ud, al-Hasan Ibn Sirin, Abu al-Jauza’ dan Ibrahim al-Nahka’i. Begitu huga Sa’ad Ibn Jubir, Ibn Umar, ‘Ata’, Ikrimah dan ramai lagi.

Bagitu juga al-Tabari , beliau telah menyebut dengan panjang lebar pandangan-pandangan para umala pada zaman awal Islam dan hal berkenaan. Beliau kemudiannya membuat kesimpulan bahawa pendapat yang mengatakan “muka dan dua tapak tangan” itu yang ditujuk dalam pengecualian berkenaan, adalah lebih wajar diterima. Ini termasuklah celak, gelang, cincin dan inai sekiranya terpakai di situ. Alasan yang diberikan iaah kedua-dua anggota terebut tidak perlu ditutup dalam sembahyang sedangan jelas dalam sembahyang, aurat mesti ditutup.

Bagaimanapun, beliau mengakui riwayat yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. mengharuskan perempuan mendedahkan tangannya sampai ke separuh lengan sebagai satu yang sabit. Kerana itu ia boleh dimasukkan ke dalam pengecualian berkenaan .

Pandangan Para Fuqaha

Ibn Rusyd dalam kitabnya, Bidayat al-Mujtahid menyebut para fuqaha berbeza pendapat tentang aurat wanita. Kata beliau, jumhur ulama berpendapat seluruh tubuh wanita itu aurat kecuali muka dan dua tapak tangan. Abu hanifah pula berpendapat bahawa kaki bukan aurat. Sementara Ahmad bin Hanbal berendapat semua tubuh wanita itu aurat tanpa kecuali.

Sebab berlakunya perbezaan pendapat seperti itu ialah kerana perbezaan pendapat dalam mentafsirkan firman Allah : “ ولا يبدين زينتهن إلا ما ظهر منها ” al-Nut (24) : 31 yang bermaksud : “Dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak darinya” – al-Nur (24) : 31. Persoalah yang timbul ialah apakah yang dikecualikan itu anggota tertentu atau mana-mana sahaja anggota yang tidak dapat dikawal daripada ternampak. Bagi mereka yang berpendapat bahawa maksudnya anggota yag tidak dapat dikawal daripada ternampak pada waktu bergerak, berpendapat aurat wanita itu seluruh badannya. Sedangkan mereka yang berpendapat maksudnya anggota badan yang biasanya tidak ditutup berpendapat yag dikedualikan ialah muka dan dua tapak tangan.

Ibn Qudamah, dalam kitab ¬al-Mughni pula menyebut hal yang sama. Bagaimanapun beliau tidak menyebut secara jelas bahawa yang berpendapat bahawa semua tubuh wanita itu aurat ialah al-Imam Ahmad Ibn Hanbal. Beliau sebaliknya menyebut : “Dan sesetengah ulama mazhab kita (Hanbali) berkata…….”. Malah kemudiannya menyebut itu adalah pandangan Abu Bakr al-Harith Ibn Hisyam.

Al-Syaukani dalam Nail al-Authar , pula menyebut Abu Hanifah juga dalam satu riwayat lain berpendapat kaki wanita termasuk dalam aurat. Beliau juga menyebut bahawa Ahmad Ibn Hanbal dalam satu riwayat lain mengecualikan muka. Bagitu juga pandangan Daud al-Zahiri. Sementara mereka yang berpendapat kaki bukan aurat termasuk al-Imam al-Thauri.

Al-Dimisyqi pula dalam kitabnya Rahmat al-Ummah Fi Ikhtilaf al-A’immah menyebut hanya ada dua riwayat sahaja daripada Ahmad Ibn Hanbal. Pertamanya iaitu yang paling masyhur mengecualikan muka, dan keduanya sama seperti jumhur, mengecualikan muka dan kedua tapak tangan.

Kenyataan-kenyataan yang berbeza-berbeza daripada kitab-kitab Fiqh Perbandingan ini menimbulkan satu persoalab tentang pandangan sebenar setengan imam mazhab berkenaan. Abu Hanifah misalnya ada dua pandangan. Pertamanya mengecualikan tapak kaki, dan keduanya tidak. Ahmad Ibn Hanbal pula ada berbagai riwayat daripadanya. Pertamanya tiada pengecualian langsung, keduanya mengecualikan muka sahaja, dan ketiganya sama seperti jumhur, mengecualikan muka dan tapak tangan.

Kepelbagaian riwayat ini akan lebih meluas apabila pandangan dalam masing-masing mazhab diambil kira. Bukan semua ulama daripada mazhab-mazhab berkenaan sependapat dengan pemimpin-pemimpin mazhab mereka. Al-Syaukani misalnya menyebut sesetengah umala mazhab Syafi’i berpendapat bahawa semua tubuh wanita itu aurat tanpa apa-apa pengecualian. Al-Qasim pula ada dua riwayat daripadanya. Riwayat pertama mengecualikan muka dan dua tapak tangan, sementara riwayat kedua pula mengecualikan sama tapak kaki.

Cuma apa yang tidak disebut langsung oleh kitab-kitab Fiqh Perbandingan berkenaan ialah pandangan Ibn Abbas, Qatadah dan al-Miswar bin Makhramah yang disebut oleh al-Qurtubi sebagai mengecualikan juga tangan hingga ke separuh lengan. Malah Ibn Qudamah menyebut Ibn Abbas mentafsirkan bahwa yang ditafsirkan itu ialah muka dan dua tapak tangan. Al-Syaukani pula menyebut Ibn Abbas berpendapat tapak kaki dikecualikan.

Apakah ini bererti para fuqaha mazhab telah menolak atau mengenepikan pendapat Ibn Abbas berkenaan? Atau sekurang-kurangnya mengenepikan riwayat al-Qurtubi tentang pandangan Ibn Abbas itu? Kalau demikian, bagaimana pula dengan hadis ‘Aisyah r.a. yang disebut oleh al-Qurtubi sebagai asas kepada pandangan Ibn Abbas, Qatada dan al-Misqar itu?

Maerujuk kepada riwayat-riwayat yang mentafsirkan maksud firman Allah s.w.t. : “ولا يبدين زينتهن إلا ما ظهر منها” sepertimna yang disenaraikan oleh al-Tabari dalam tafsirnya , tetnyata bahawa hadis “لا يحل لامرأة أن تؤمن بالله يوم الأخر إذا عركت أن تظهر إلا وجهها ويديها هنا, وقبض على نصف الذارع”, sepertimana yang disebut olehal-Qurtubi dalam tafsirnya itu diriwayatkan oleh Qatadah dan bukan oleh ‘Aisyah r.a. Apa yag diriwayatkan oleh ‘Aisyah r.a. ialah satu hadis yang berbunyi :
” قالت عائشة : دخلت على ابنة أخى لامى عبد الله بن الطفيل مزينه : فدخل النبي (ص) فاعرض, فقالت عائشة : يا رسول الله أنها ابنة أخى وجارية, فقال : إذا عركت المرأة يحل لها أن تظهر إلى وجهها وإلا ما دون هذا, وقبض على ذارع نفسه, فترك بين قبضته وبين الكف مثل قبضة أخرى “

Yang bermaksud :
“Kata ‘Aisyah r.a. : Anak perempuan Abdullah Ibn al-Tufail saudaraku seibu telah datang menemui ku dalam keadaan berhias. Rasulullah s.a.w. yang kemudiannya masuk ke situ tidak mahu melihatnya. Saya lalu berkata : Ya Rasulullah, dia anak saudaraku dan masih muda. Baginda bersabda : Apabila seseorang itu telah berisi tidak haram baginya menampakkan kecuali muka dan setakat ini. Baginda memegang lengan baginda sendiri pada jarak setapak tangan daripada tapak tangannya”

Berasaskan kepada huraian-huraian dalam kitab-kitab Fiqh Perbandingan di atas ternyata muka dan dua tapak tangan perempuan bukan aurat. Walaupun ada sedikit sebanyak perbezaan pendapat para fuqaha dalam masaah ini, tetapi majoroti besar para ulama berpendapat semikian. Tafsiran ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. juga boleh dikatakan menyokong tafsiran yang sederhana ini.

Tinggal lagi maslaah tapak kaki dan separuh atau satu pertiga lengan. Jawapan kepada peroalan ini perlua dilihat daripada kenyataan-kenyataan yang terdapat dalam kitab-kitab mazhab berkenaan.

Mengenai tapak kaki, sepertimana yang disebut sebelum ini, Ibn Rusyd dan al-Syaukani menyebut Abu Hanifah dalam satu riwayat daripadanya menyatakan ia bukan aurat. Bagaimanapun, pandangan yang disebut sebagai pandangan Abu Hanifah ini tidak disebut oleh al-Jassas, iaitu seorang pentafsir ayat hukum yang sangat dihormati dalam mazhab Hanafi .

Huraian mengenai kaki ini dibuat oleh al-Haskafi dalam Ruddul-Muhtar . Kata beliau, mengikut qaul yang mu;tamad dua tapak kai bukan aurat bagi wanita.

Mengulas kenyataa ini, dalam syarahnya menyebut, maksudnya pendapat yang mu’tamad daripada tiga yang disaring dalam mazhab Hanafi. Pendapat kedua megatakan aurat, sementara pendapat ketiga pula mengatakan ia bukan aurat dalam sembahyang, tetapi aurat di luar sembahyang.

Beliau kemudian menyebut perbezaan pendapat di kalangan para fuqaha mazhab Hanafi tentang sebelah bawah tapak kaki. Kata beliau, sebeah atas tapak kaki diterima oleh para fuqaha sebagai bukan aurat. Tetapi perbezaan pendapat berlaku tentang sebelah bawah tapak kaki (باطن القدم) .

Dalam al-Mabsut dan Bada’i , perbincangan tentang aurat ini tidak ada. Mungkin kerana itulah al-Zuhayli dan bukunya Fiqh al-Islami Wa Adillatuh tidak merujuk kepada dua buku utama dalam mazhab Hanafi dan hanya merujuk kepada al-Haskafi dan al-Zaila’i sahaja .

Kedudukan ini tidak memberi kekduatan bagi pandangan yang mengatakan tapak kaki itu bukan aurat untuk tengah. Lebih-labih lagi Ibnu Qudamah dalam menolak pandangan berkenaan menyebut ianya bertentangan dengan hadis riwayat Abu Daud dariapda Ummu Salamah yang berbunyi :

” قلت يا رسوا الله اتلى المرأة درع وخمار فى درع وخمار وليس عليها ازار؟ نعم إذا كا بسابغا يغطى ظهور قدميها ” – رواه ابو داود

Yang bermaksud :
“Saya berkata : Wahai Rasulullah, bolehkan perempuan bersembahyang dengan memakai baju labuh dan tudung kepala tanpa memakai kain? Jawab Rasulullah s.a.w. : Ya! Kalau ia cukup labuh sampai menutup dua tapak kakinya” – Hadis riwayat Abu Daud

Satu hadis lain yang hampir sama ialah yang diriwayatkan oleh Ibn Umar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :

” لا ينظر الله إلى من جر ثوبه خيلاء . فقالت أم سلمة : فكيف يضع الساء بذيولهن ؟ قال : يرخيت شبرا. فقالت : إذا تنكسف إقدامهن ؟ قال : فيرخينه ذراعا لا يزدن عليه ” – رواه الترمزى
Yang bermaksud :
“Allah tidak (suka) melihat orangyang mengherek pakaiannya (yang labuh) dengan penuh megah. Lalu Ummu Salamah berkata : Bagaimana sepatutnya orang perempuan buat dengan hujung (pakaian) mereka? Sabda Rasulullah s.a.w. : mereka perlu melabuhkannya satu jengakal. Kata Ummu Salamah : Kalau begitu, tapak kaki mereka akan terdedah. Sabda Rasulullah s.a.w. : kalau begitu, mereka perlu melabuhkannya sehasta dan jangan lebih daripada itu” – Hadis riwayar al-Termidzi.

Mengenai lengan pula, tidak ada kitab-kitab fiqh mazhab yang memperkatakannya. Seolah-olah pandangan ini tidak berbangkit sama sekali.

Pandangan-pandangan Fiqh Semasa

Abdul-Rahman al-Jaziri dalam Kitab al-Fiqh al-Madzahib al-Arba’ah hanya menukilkan pandangan-pandangan para fuqaha terdahulu tanpa apa-apa ulasan daripada beliau sendiri. Dalam nukilan tersebut, beliuan menyebut aurat wanita ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan dua tapak tangan, tanpa menyebut apa-apa tengang tapak kaki atau lengan. Malah tidak pun menyebut pandangan mazhab Hanafi tentang kaki.

Pendirian yang hampir sama diambil oleh al-Zuhaili . Seperti biasa, beliau Cuma menukilkan pandangan-pandangan para fuqaha terdahulu tanpa apa-apa ulasan lanjut. Dalam ulasan tersebut, beliau menyebut semua pandangan para fuqaha termasuk pandangan mazhab Hanafi yang mengecualikan tapak kaki daripada aurat. Bagaimanapun, beliau tidak menyentuh tentang lengan, mungkin kerana tidak tersebut dalam kitab-kitab fiqh terdahulu.

Membataskan pengecualian daripada aurat perempuanitu muka dan dua tapak tangan sahaja dan tidak termasuk tapak kaki dan lengan, sebenarnya kecenderungan terbanyak fiqh semasa. Dalam bukunya ¬al-Hijab , Abu al-A’la al-Maududi menyimpulkan bahawa berasaskan kepada riwayat-riwayat yang ternyata sekali seluruh badan wanita itu aurat kecuali muka dan tapak tangannya. Bagaimanapun, kata beliau, berasaskan kepada nas-nas yang ada juga terdapat kelonggaran bagi para wanita yang sudah melepasi batasan fitnah tarikan hawa nafsu, misalnya mereka yang sudah berumur.

Pendirian yang sama juga dibuat oleh Yusuf al-Qaradhawi. Dalam buku beliau al-Halal Wa al-Haram Fi al-Islam , beliau memilih untuk mentarjih bahawa yang dimaksudkan sebagai “apa yang lahir daripadanya” sepertimana yang tersebut dalam ayat 31, surah al-Nur itu ialah muka dan dua tapak tangan.kata beliau, ini adalah pendangan terbanyak para fuqaha terdahulu. Sebelum membuat kesimpulan berkenaan, beliau menyebut sepintas lalu pandangan yang menyatakan termasuk sebahagian lengan, malah juga menyebut pandangan yang lebih ketat, iaitu tanpa pengecualian.

Alasan yang diberikan oleh beliau ialah keperluan untuk tidak menutup muka dan tapak tangan itu bagi tujuan urusan hidup seharian. Tentang tapak kaki, beliau meminjam kata-kata al-Razi dalam tafsirnya yang mengatakan, keperluan untuk membukanya tidak sama dengan keperluan bagi muka dan dua tapak tangan. Sebab itulah, kata al-Razi, para ulama berbeza pendapat tantangnya .

Muhammad al-Ghazali juga nampaknya mempunyai pendirian yangsama. Dalam buku beliau, Qadhaya al-Mar’at , beliau mengkritik tentang cara berpakaian wanita zaman sekarang , tetapi mempertahankan bahawa muka wanita bukan aurat . Dalam buku tersebut, beliau tidak pula membincangkan soal kaki dan lengan.

Bagaimanapun, terdapat juga para penulis yang secara jelas menyebut kaki juga dikecualikan. Al-‘Aqqad dalam buku beliau, al-Mar’at Fi al-Quran , berkecenderungan untuk memasukkan sama tapak kaki sebagai bukan aurat. Pandangan beliau ini berasaskan Tafsir al-Kasyaf, iaitu yang disifatkan oleh beliau sebagai kitab tafsir yang terkemuka. Mengikut al-Kasyaf, anggota seperti muka, tapak tangan dan tapak kaki adalah anggota badan yag secara semulajadi dan pada kebiasaannya tidak ditutup, kerana perlua digunakan bagi tujuan kehidupan seharian. Kerana itu, ia termaksud dalam maksud “apa yang lahir daripadanya”. Khusus mengenai kaki, al-Kasyaf menyebut, ia perlu dibuka bagi tujuan untuk berjalan, tertama di kalangan mereka yang miskin.

Kata-kata al-‘Aqqad lagi, antara para mufassirin semasa yang menyokong pandangan ini ialah Tantawi Juhairi, dalam tafsirnya Tafsir al-Jauhari. Dalam tafsir tersebut, beliau menyebut tapak kai bersama muka dan tapak tangan sebagai anggota yang perlu dibuka bagi tujuan urusan hidup harian .

Mengulas tafsir-tafsir tersebut, beliau sendiri kemudainnya membuat kesimpulan bahawa bukanlah tujuan Islam untuk mengurung atau mengongkong kehidupan perempuan. Apa yang menjadi tujuan sebenar Islam ialah untuk menjaga maruah perempuan itu sendiri .

Muhammad Izzad Daruzah dalam buku beliau al-Mar’at Fi al-Quran Wa al-Sunnah membangkitkan soal pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bersih daripada nafsu syahwat. Kata beliau, adalah penting sesudah mengambil kira semua ayat dan hadis yang memperkatakan tentang aurat, hijab dan merendahkan pandangan (Ghadd al-Basar) ini untuk menegaskan keperluan pergaulan yag bersih daripada dorongan hawa nafsu seks di antara lelaki dan perempuan. Ia perlu berlaku secara terbuka dan bukannya dalam bentuk berkhalwat atau terhad. Tegas beliau lagi, bukanlah menjadi tujuan Islam untuk memaksa satu fesyen pakaian tertentu sahaj bagi wanita di sepanjang zaman kerana fesyen pakaian sentiasa terdedah kepada perubahan selera dari semasa ke semasa. Apa yang penting ialah keperluan kepada pakaian yang bermaruah.

Sehubungan dengan dasar umum ini, beliau nmenyebut hadis-hadis ‘Aisyah r.a. yang disebut oleh al-Tabari tentang separuh lengan yang dikatakan dikecualikan daripada aurat. Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut tentang hadis tersebut kecuali berkata ada beberapa hadis yang diriwayatkan oleh al-Tabari mengenai hal demikian .

Seorang lagi ilmuan Islam zaman sekarag yang menyentuh tentang aurat wanita ialah Wahiduddin Khan, seorang cendikiawan Islam terkenal di India. Dalam buku beliau al-Mar’at Bain Syariat al-Islam Wa al-Hadharah al-Gharbiyah (terj.), Wahiduddin Khan sudah membentangkan tafsiran-tafsiran beberapa ulama Islam semasa seperti al-Albani , dan al-Sabuni telah menukilkan pandangan al-Syaikh Syabir Ahmad al-Uthman tentang masalah yang sama. Dalam getusan tersebut, beliau menyebut al-Uthmani berkata hadis dan athar menunjukkan muka dan dua tapak tangan adalah anggota-anggota badan yang dikecualikan daripada aurat. Sebabnya ialah kerana keperluan hidup dan keagamaan yang banyak yang tidak boleh dilaksanakan oleh para wanita kelau sekitanya mereka perlu menutup semua badan mereka. Dalam tafsiran itu juga, kata Wahiduddin, al-Uthmani menyebut para ulama terdahulu juga menggunakankaedah qiyas untuk menyamakan kai dengan muka dan tapak tangan .

Abdul-Karim Zaidan pula dalam bukunya al-Mufassal li Ahkam al-Mar’at telah membentangkan pandangan-pandangan para fuqaha tentang aurat dan dalil-dalil mengenainya, termasuk perbezaan pendapat tentang tapak kaki. Beliau kemudiannya menukilkan pandangan-pandangan Ibn Hummam dan al-Babarti untuk mempertegaskan bahawa kaki bukannya aurat. Kata beliau : Boleh dikatakan, menutup dua tapak kaki dalam sembahyang bukannya wajib, tetapi sunat. Oleh kerana itu, dua tapak kaki bikanlah aurat yangmesti ditutup. Pandangan ini diperkukuhkan oleh keperluan membuka dua tapak kaki apabila berjalan tanpa beralas kaki. Selaindaripada itu, berbanding dengan muka, kaki tidak membangkitkannafsu. Maka, kalau muka bukan aurat, apatah lagi kaki .

Penutup

Ternyata daripada keterangan-keterang di atas bahawa, penutupan aurat itu adalah wajib dan tidak ada siapa dari kalangan ulama yang menafikannya. Ini berdasarkan kepada ayat-ayat al-Quran dan haids-hadis Rasulullah s.a.w. yang jelas.

Apa yang menjadi persoalan ialah batas-batas aurat itu sendiri. Dalam masalah ini,para fuqaha berbeza pendapat. Paling ketat ialah pendapat yang mengatakan semua tubuh wanita itu aurat tanpa terkecuali. Bagaimanapun, pendapat ini tidak popular. Ia hanya diterima oleh beberapa kalangan yang sedikit sahaja. Paling ramai ialah mereka yang mengecualikan muka dan tapak tangan. Di samping itu, ada pandangan minoriti yang mengecualikan sama tapak kaki dan ada yang mengecualikan sebahagian daripada lengan.

Perbezaan pendapat ini berlaku kerana para fuqaha berbeza pendapat tentang maksud “perhiasan yag biasa terdedah” sebagaimana yang terdapat dalam ayat 31, surah al-Nur “ولا يبدين زينتهن إلا ما ظهر منها”. Persoalannya, apakah yag dimaksudkan dengan “perhiasan” (al-Zinah) itu? Dan apakah pula yang dimaksudkan dengan “yang biasa terdedah”?

Mengenai maksud perhiasan (Zinah), para fuqaha membahagikan perhiasan itu kepada dua jenis. Pertamanya perhiasan yang bersifat semulajadi, iaitu tubuh mereka sendiri. Kerduanya perhiasan yang bersifat ciptaan manusia, iaitu pakaian dan sebagainya. Konsep nampak juga dibahagiakn kepada dua. Pertamanya, ternampak disebabkan oleh pergerakan manusia itu sendiri atau akibat persekitaran, seperti ditiup angin. Keduanya ialah nampak kerana dibiarkan terdedah.

Sebahagian daripada mereka yang berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan perhiasan itu ialah perhiasan ciptaan manusia, berpendapat yang dimaksudkan dengan perhiasan yang biasa nampak atau terbuka itu ialah pakaian luar wanita berkenaan, seperti kain baju dan sebagainya. Sebehagian daripada mereka pula berpendapat ia adalah barang-barang perhiasan tubuh yang biasa nampak pada tubuh wanita itu seperti celak, cincin dan gelang tangan. Bagaimanapun, olehkerana alat-alat perhiasan seperti itu dibenarkan terdedah, maka dengan sendirinya bahagian tubuh manusia yang menjadi tempat barang-barang itu dipakai juga boleh terdedah.

Bagi mereka yang berpendapat, yang dimaksudkan dengan perhiasan itu ialah perhiasan tabi’i, mereka berpendapat bahagian anggota perempuan yang biasanya terdedah atas keperluan hidup dan agama. Berasaskan dalil-dalil yang ada, mereka merumuskan muka dan dua tapak tangan sebagai dikecualikan daripada aurat wanita. Namun, terdapat di kalangan mereka yang berpendapat dikecualikan juga tapak kaki dan ada yang berpendapat termasuk juga sebahagian daripada lengan.

Tafsiran-tafsiran ini berasaskan kepada hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Sepertimana yang disebutkan di atas, terdapat berbagai-bagai hadis dalam masalah ini, dan semuanya boleh dijadikan asas kepada pentafsiran berkenaan.

Adalah menjadi satu kebaikan dalam Islam, perbezaan pendapat itu berlaku. Ia merupakan suatu gejala yang memperkukuhkan nilai fleksibiliti (Murunah) hukum Islam. Dalam keadaan-keadaan yang selesa, lengan dan tapak kaki perlu ditutup. Bagaimanapun, dalam keadaan memerlukan bagi tujuan urusan hidup, ia sepatutnya boleh dibuka atas asas keperluan. Sebagaimana maklum keperluan, bukannya darurat. Anara keduanya, ada perbezaan yang jauh.

Selain itu, umat Islam juga boleh memilih pendirian yang mana mereka mahu. Paling konservatif, mereka hanya akan membuka muka dan dua tapak tangan sahaja dalam keadaan mana sekalipun. Kalau dia memilih untuk bersikap liberal, dia boleh juga membuka tapak kaki atau separuh lengan kalau perlu. Di kalangan para sahabat sendiri, sikap-sikap yang berbeza ini sentiasa ada. Semuanya diperakukan oleh Rasulullah s.a.w. selagi dalam kerangka pentafsiran yang munasabah.

Bagi tujuan memberi fatwa. Para mufti dinasihatkan oleh para ulama besar bahawa fatwa jangan sahaja dilihat dari perspektif teori hukum, tetapi juga samada dia dapat menyelesaikan masalah masyarakat atau sebaliknya.

http://sham86.wordpress.com/2009/08/13/aurat-wanitakonsep-dan-hukum-mengenainya/

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails