a

Monday, 30 March 2009

Menghafaz al-Quran

Menghafaz bermaksud menjaga, mengulang dan menghayati. Proses menghafaz bermula dengan membaca dan mengulang. Yang telah lekat di dalam dada itu dijaga supaya tidak hilang. Caranya ialah juga dengan selalu mengulang-ulang bacaan. Menghayati maksud ayat-ayat yang dibaca itu tidak dapat dilakukan kecuali dengan memahami maknanya. Dan ini juga merupakan satu aktiviti yang perlu diambil perhatian.

Menghafaz al-Quran tidak seperti menghafaz senikata lagu dan prinsip-prinsip matematik atau sains. Selain daripada sifatnya yang tidak sama itu, menghafaz Al-Quran adalah ibadat. Ia suatu amalan untuk mendekatkan diri dengan Allah s.w.t.. Dengan sebab itu ia mempunyai beberapa kelebihan. Jadi, sebelum kita bincangkan tentang panduan dan cara-cara menghafaz, elok jika kita perhatikan dahulu tentang kelebihan membaca dan menghafaz Al-Quran.

Firman Allah:

Maksudnya: "Sesungguhnya Al-Quran ini menunjukkan ke jalan yang
paling lurus dan memberi berita gembira kepada orang mukmin yang
mengerjakan amal soleh, bahawa bagi mereka ganjaran yang besar"

Surah Al-Isra 9.

FimanNya lagi:

Maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang yang membaca kitab
Allah dan mendirikan solat serta membelanjakan daripada rezeki
yang Kami kurniakan kepada mereka secara rahsia atau secara
terang, sedangkan mereka mengharapkan perniagaan yang tidak
akan binasa (pahala yang bekekelan), nescaya Allah akan
menyempurnakan kepada mereka ganjaran yang patut mereka
dapat, malah menambahkan lagi kepada mereka beberapa
kelebihan. Sesungguhnya Dia (Allah) Maha Pengampun lagi amat
bersyukur". Surah Fatir 29-30.

Selain daripada itu, Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam (s.a.w.) bersabda bemaksud:

"Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah Ta'ala, maka
baginya satu kebajikan, dan satu kebajikan itu digandakan dengan
sepuluh kali ganda. Aku tidak mengatakan Alif, Lam, Mim itu satu huruf,
tetapi, Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf". Riwayat Ibnu
Mas'ud.

Abu Umamah al-Bahili r.a. meriwayatkan dengan katanya: "Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud:

"Bacalah Al-Quran, kerana sesungguhnya ia akan datang di hari
Kiamat memberi syafaat kepada pembacanya"

Membaca Al-Quran bukan sahaja mendapat pahala dan menjadi syafaat di dalam kubur dan juga di hari Akhirat, tetapi ia juga merupakan ubat dan penawar serta rahmat bagi seluruh kaum muslimin. Ini adalah berdasarkan firman Allah:

Bermaksud: "Dan Kami turunkan sebahagian daripada ayat-ayat
Al-Quran itu menjadi penawar dan rahmat bagi orang mukmin".
Surah Isra 82.

Fadhilat Al-Quran bukan sahaja kerana membacanya, malah mendengarnya pun mendapat banyak manfaat. Antaranya ialah seperti yang disabdakan oleh Nabi s.a.w. yang bermaksud:

"Sesiapa yang mendengar (bacaan) satu ayat dari kitab Allah
(Al-Quran), maka ayat itu menjadi nur (cahaya) baginya". Riwayat
Ibnu Abbas r.a.

Malah,lebih daripada itu jika kita dapat menghafaz, memahami dan mengajarkannya kepada orang lain. Kerana dengan menghafaz kita dapat memelihara Al-Quran daripada hilang, dan dengan mengajarnya kita dapat menyelamatkan orang Islam daripada kehilangan punca agama dan aqidah. Dalam sebuah hadis riwayat Uthman bin 'Affan bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang maksudya:

"Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar Al-Quran dan
mengajarnya kepada orang lain"

Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh ad-Darimi daripada Ibnu Mas'ud r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Bacalah Al-Quran, kerana sesungguhnya Allah Ta`ala tidak
menyiksa hati yang menyimpan Al-Quran (hafaz Quran). Dan
sesungguhnya Al-Quran itu hidangan Allah, maka sesiapa yang
masuk padanya, maka dia mendapat keamanan, dan sesiapa yang
kasihkan Al-Quran, maka hendaklah ia bergembira (dengan berita
baik daripada Allah Ta'ala".

Sebaliknya rugilah orang yang tidak ada Al-Quran di dalam hatinya walaupun satu ayat. Rasulullah s.a.w. menganggapkan orang yang tidak membaca Al-Quran dan tidak menghafaznya, seterusnya tidak pula beramal dengan ajarannya ialah orang yang sangat rugi seperti rumah buruh yang hampir runtuh. Sabda baginda s.a.w. bermaksud:

"Sesungguhnya orang yang tidak ada sesuatu daripada Al-Quran
di dalam dirinya adalah seperti rumah usang, buruk dan hampir
runtuh" Hadis riwayat Tarmizi.

Berdasarkan kepada ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis seperti yang dibentangkan di atas, marilah sama-sama kita insaf diri dan kembali kepada Al-Quran. Iaitu dengan mempelajarinya, memahami, menghafaz dan mengamal serta menghayati ajarannya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails